Home Semasa Malaysia, Pakistan boleh bekerjasama dalam pembangunan ekonomi biru

Malaysia, Pakistan boleh bekerjasama dalam pembangunan ekonomi biru

by Air Times News Network

KARACHI, 11 Feb – Panglima Tentera Laut Pakistan, Laksamana Zafar Mahmood Abbasi berkata Malaysia dan Pakistan boleh saling membantu jika masing-masing membabitkan diri dalam pembangunan ekonomi biru sebagaimana mereka memperkukuh hubungan angkatan tentera laut kedua-dua negara.

Menurut laporan Bernama, Zafar berkata selain dimensi ketenteraan, ekonomi biru yang membabitkan pengurusan marin atau sumber lautan, menyediakan peluang penting kepada kedua-dua negara pada masa depan.

“Masa depan terletak di lautan. Sumber di daratan telahpun diteroka dan digunakan. Kini sumber berada di lautan.

“Kita boleh berkongsi maklumat dan pengalaman. Apa yang telah Malaysia capai, apa yang telah Pakistan capai, kita boleh saling memperkukuh antara satu sama lain dalam dimensi itu,” katanya kepada Bernama di atas kapal sokongan pelbagai peranan KD Mahawangsa milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pelabuhan Karachi di sini semalam.

Turut hadir Komander Armada Pakistan, Laksamana Madya Muhammad Amjad Khan Niazi; Pegawai Pemerintah KD Mahawangsa, Kapten Ivan Mario Andrew dan Pegawai Pemerintah KD Kasturi, Komander Suhardi Sutrisno.

Beliau turut melawat kapal perang milik TLDM yang mengambil bahagian dalam latihan tentera laut multinasional Aman Exercise 2019 anjuran Tentera Laut Pakistan yang berlangsung sehingga 12 Februari.

TLDM turut menghantar kapal perang KD Kasturi, pasukan khas laut (PASKAL) dan pasukan pemusnah bom (EOD) pada Aman Exercise kali ini.

Lebih 45 negara mengambil bahagian dalam latihan tentera laut multinasional itu, termasuk 11 angkatan tentera laut yang menghantar kapal, helikopter dan pasukan khas mereka.

Mengulas Aman Exercise 2019, Laksamana Abbasi berkata latihan multinasional itu yang dikendali oleh Tentera Laut Pakistan setiap dua tahun sejak 2007, akan mempertingkat kebolehoperasian dan persefahaman bersama angkatan tentera laut kedua-dua negara.

“Kami amat berterima kasih kepada sahabat kami Kerajaan Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia kerana mengambil bahagian dalam Aman Exercise dengan menghantar dua kapal perang ke Pakistan.

“Ini mencerminkan kemesraan dan hubungan erat yang dinikmati kedua-dua negara. Kami sering mengambil bahagian dalam LIMA seperti juga Tentera Laut Diraja Malaysia dalam Aman Exercise. Penglibatan ini akan terus memperkukuh hubungan yang sedia terjalin,” kata Laksamana Abbasi.

Panglima Tentera Laut Pakistan itu berkata kedua-dua negara disatukan oleh lautan meskipun sempadan daratan memisahkan mereka.

“Dalam mendepani persekitaran ancaman kontemporari, kita perlu membuka saluran komunikasi, mengadakan koordinasi rapat dan saling berkongsi maklumat antara satu sama lain,” kata Laksamana Abbasi merujuk kepada ancaman bukan tradisional seperti keganasan, pelanunan dan penyeludupan.

 

 

Related Articles

Leave a Reply