Home PolitikBarisan Nasional PRK Cameron Highlands: BN pertaruh calon Orang Asli

PRK Cameron Highlands: BN pertaruh calon Orang Asli

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Bekas penolong pesuruhjaya polis, Ramli Mohd Nor dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Ramli yang berketurunan Orang Asli diumumkan sebagai calon oleh pemangku pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini.

“Kita telah membuat keputusan bahawa calon yang dikemukakan hari ini adalah yang boleh diterima oleh rakyat setempat.

“Yang paling mustahak dalam menghadapi PRK ini adalah mempunyai calon yang tepat dan menjadi faktor utama didalam memastikan BN mempertahankan kerusi kali ini.

“Ramli adalah penduduk tempatan dari suku Semai, tidak menganggotai mana-mana parti dan calon adalah anak tempatan yang mewakili 22% pengundi Orang Asli di sana,” katanya pada satu sidang media di sebuah hotel, di sini hari ini.

Turut hadir dalam pengumuman itu Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran; Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.

Semalam, Muhamad atau lebih mesra dipanggil Tok Mat berkata PRK Cameron Highlands kali ini dilihat penting sebagai penanda aras penerimaan rakyat terhadap BN dan kepimpinannya.

Sehubungan itu, beliau berkata amat perlu bagi BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan dengan mengetengahkan calon yang benar-benar berwibawa.

“Kemenangan pada PRK ini penting bagi melihat sejauh mana BN masih berada di hati rakyat terutama di kawasan Cameron Highlands,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di sini malam tadi.

PRK Parlimen Cameron Highlands berlangsung selepas Mahkamah Pilihan Raya memutuskan untuk kemenangan Datuk C. Sivarrajah dari BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

 

Related Articles

Leave a Reply