KUALA LUMPUR, 26 Dis – Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) T Muthusamy berkata merokok sudah menjadi kebiasaan bagi semua orang untuk merokok di semua kawasan melainkan kawasan-kawasan yang dilarang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Menurut laporan Berita Harian, Muthusamy berkata merokok sudah menjadi tradisi kepada pelanggan, justeru saya mohon kerajaan membenarkan premis makanan menyediakan zon merokok dalam kawasan premis berkenaan.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan kawasan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan berkuat kuasa awal Januari depan.
Jelas Muthusamy, arahan pelaksanaan merokok sejauh tiga meter atau 10 kaki dari premis makanan dianggap sukar untuk dipatuhi atas sebab-sebab tidak dipraktikkan.
“Saya minta kerajaan tangguhkan dulu pelaksanaan undang-undang larangan merokok ini sehingga pelanggan yang merokok boleh menerima pelaksanaan ini dengan baik.
“Kerajaan sebaliknya boleh memperkuatkan lagi undang-undang untuk membanteras penjualan rokok seludup dan rokok batang yang dilihat semakin meluas terutama dalam kalangan pelajar sekolah,” tegasnya.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Ayoob Khan Muhamad Yakub, berkata pengusaha restoran tidak mempunyai kuasa untuk menegur pelanggan yang merokok di premis mereka, sekali gus menyukarkan usaha untuk menghalang perbuatan berkenaan.
“Kita setuju dengan tindakan kerajaan, namun mekanisme penguatkuasaan wajar diperkasakan bagi memastikan larangan merokok dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
“Adalah lebih baik jika premis menyediakan zon khas merokok seperti yang dilaksanakan sekarang,” tegasnya lagi.