Home Semasa Tiga nelayan sah diculik – Polis Sabah

Tiga nelayan sah diculik – Polis Sabah

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Polis mengesahkan seorang tekong dan tiga nelayan yang dilaporkan hilang berhampiran kejadian serangan sebuah bot tunda Magtrans II, di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, Rabu lalu, diculik dan berada di suatu tempat di Filipina.

Memetik laporan Harian Metro, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, pengesahan terkini daripada isteri salah seorang mangsa mengakui sudah dihubungi oleh suaminya.

“Isteri salah seorang mangsa mengakui dihubungi oleh suaminya dan menyatakan ketiga-tiga mereka diculik.

“Mereka juga sudah dibawa ke satu tempat yang tidak diketahui di Filipina,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Pada 6 Disember lalu, tiga nelayan dikenali sebagai Heri Ardiansyah, 19, Jari Abdullah, dan Hariadin, 45, dilaporkan hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka ditemui tanpa kelibat ketiga-tiga mereka.

Difahamkan, salah seorang mangsa culik iaitu Jari adalah warga tempatan dan bukan warga Indonesia seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Pada 5 Disember lalu juga, jam 6.30 pagi, bot tunda Magtrans II yang membawa 12 kru terdiri daripada dua warga Malaysia dan 11 warga Indonesia dikatakan dalam perjalanan dari Bintulu, Sarawak menuju ke Papua New Guinea.

Sebaik tiba di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, sebuah bot warna hitam dinaiki empat lelaki lengkap bersenjata panjang jenis rifle M16 menghampiri dan menaiki bot tunda berkenaan lalu melepaskan tembakan.

Akibat tembakan itu, tekong bot tunda Didy Saviady, 40, cedera di paha selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh suspek terbabit manakala semua kru selamat.

Related Articles

Leave a Reply