Home Semasa PDRM teliti dakwaan Justo – KPN

PDRM teliti dakwaan Justo – KPN

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneliti dakwaan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo yang mengaku pernah dipaksa untuk membuat pengakuan secara terbuka bahawa Datuk Seri Najib Razak adalah seorang yang baik.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun tidak menolak kemungkinan dakwaan itu ada kaitan dengan kenyataan yang diambil ketika beliau (Justo) di Bangkok, tiga tahun lepas.

“Kita akan lihat serta memperincikan dakwaan itu sebelum pengesahan akan dibuat.

“Kita juga akan melihat serta mengenalpasti tujuan dakwaan itu dinyatakan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Seminar Pemantapan Integriti Bebas Rasuah Warga PDRM di sini, hari ini.

Semalam, pemberi maklumat warga Switzerland itu mengaku terdapat pihak berkuasa Malaysia yang datang bertemunya sebelum ini di penjara Bangkok dan antara mereka ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Pada 22 Jun 2015, Justo ditangkap di rumahnya di pulau Koh Samui, Thailand selepas para pegawai PetroSaudi memfailkan aduan bahawa beliau cuba memeras ugut firma itu sebanyak 2.5 juta Swiss francs (RM11 juta) dengan menggunakan dokumen yang dicuri daripada syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, pada Disember 2016, Justo adalah seorang daripada beribu-ribu banduan asing yang diberi pengampunan oleh Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun.

Dalam perkembangan lain, Fuzi berkata polis sedang dalam usaha untuk berurusan dengan pihak terbabit yang mendakwa adalah pemilik barang kemas yang dirampas dalam siasatan 1MDB.

“Kita sedang ambil tindakan untuk berurusan dengan mereka ini dan perkara ini sedang giat dijalankan,” katanya.

Jun lalu, PDRM memaklumkan bahawa nilai keseluruhan rampasan daripada 75 beg daripada enam lokasi serbuan yang dikaitkan dengan isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB) berjumlah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion. -BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply