Home PolitikPakatan Harapan Parti komponen BN kena pulang dana disyaki duit curi

Parti komponen BN kena pulang dana disyaki duit curi

by Nurulhuda

NILAI, 20 Okt – Parti komponen BN termasuk MCA seharusnya memulangkan dana yang pernah diterima jika mengesyaki ia adalah wang curi, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Kit Siang turut mempertikaikan kenyataan bekas Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek yang tidak mengesyaki dana diterima parti itu adalah wang curi, sedangkan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sudah menjadi isu besar sekitar tahun 2013 lagi.

“Dia tau… (status dana) tetapi dia kata ‘kalau bapa yang bagi adakah kita akan tanya sama ada wang itu dicuri’… jika anda tahu atau syaki ia adalah wang curi, anda perlu tanya.

“Saya fikir semua parti politik termasuk Umno, MCA, Gerakan, MIC dan parti komponen di Sabah dan Sarawak perlu pulangkan wang yang mereka terima daripada 1MDB  supaya wang itu boleh dikembalikan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Kebangsaan: Visi Dalam Aspirasi Malaysia Baharu bersempena Muktamar Sanawi kali ke-47  anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia.

Soi Lek dalam temu bual bersama sebuah portal tempatan mengakui menerima dana pilihan raya anggaran RM16.5 juta bagi Pilihan Raya Ke-13 daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau bagaimanapun menjelaskan tidak mengetahui sumber dana berkenaan. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply