Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Keanggotaan wanita dalam Tentera Darat lepasi sasaran – Panglima Tentera Darat

Keanggotaan wanita dalam Tentera Darat lepasi sasaran – Panglima Tentera Darat

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 20 Okt – Penyertaan wanita dalam pasukan Tentera Darat Malaysia kini telah melepasi sasaran yang ditetapkan sebelum ini iaitu 10 peratus, kata Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Beliau berkata Tentera Darat kini dianggotai 13 peratus anggota wanita dan perkara itu akan dikaji semula melibatkan peraturan-peraturan terkini.

“Pucuk pimpinan sebelum ini telah menetapkan 10 peratus anggota wanita perlu berada dalam Tentera Darat, tetapi kini kita telah mempunyai 13 peratus anggota wanita dalam Tentera Darat. Jadi pihak kami akan duduk, berbincang dan mengulangkaji balik peraturan-peraturan terkini dimana untuk menempatkan anggota wanita ini.

“Kalau kita ambil banyak, kita tidak tahu nak letakkan mereka di mana… kerana peratusannya telah meningkat. Secara lazimnya anggota wanita yang menyertai Tentera Darat kini lebih banyak diletakkan di bahagian komunikasi berbanding di bahagian medan perang.

“Kita juga tidak mempunyai anggota wanita yang bertugas sebagai Renjer, Askar Melayu ataupun Rejimen Sempadan…dahulu kita cuba untuk masukkan mereka dalam pasukan Para (Batalion Infantri) tetapi disebabkan fitrah mereka, jadi perkara itu kita tidak dapat laksanakan.

Perajurit Muda Wanita Siri 44/18 berjaya menamatkan latihan di PUSASDA, Port Dickson hari ini – Foto AirTimes

Datuk Seri Ahmad Hasbullah, turut menerangkan kesiagaan anggota Tentera Darat dalam menghadapi bencana banjir yang menjadi sebahagian tugas Tentera Darat.

“Kita selalu ‘on call’…maknanya sentiasa bersedia untuk bertugas dimana-mana. Dari segi persediaan dan kelengkapan bagi menghadapi musim banjir, kini telah mencukupi buat masa ini. Dimasa-masa akan datang, kami mohon dengan kerajaan untuk meluluskan permohonan untuk melaksanakan tugas.

“Faktor keselamatan memang menjadi keutamaan kami. Misi kami dalam melaksanakan operasi banjir adalah menyelamatkan nyawa dan bukan harta benda,”  katanya kepada pemberita selepas Majlis Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 186/18 dan Wanita Siri 44/18 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Hasagaya Abdullah, Panglima Medan Barat Tentera Darat; Lt Jen Datuk Azizan Md Delin dan Panglima Latihan Tentera Darat; Mej Jen Dato’ Wira Md Tarji bin Alwi.

 

Related Articles

Leave a Reply