BANGI, 15 Okt – Jabatan Muzium Malaysia menegaskan, acara bertemu peminat ‘Kissing Krist & Signto’ yang tular di media sosial, kononnya akan diadakan pada 20 Oktober depan di Auditorium Muzium Negara adalah tidak benar.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim dalam satu kenyataan, semalam berkata, acara berkenaan telah dibatalkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan budaya.
Kenyataan itu disiarkan di laman Facebook Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.
Pihaknya mengambil maklum mengenai sesi bertemu peminat kedua-dua pelakon pro-Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) Prachaya Ruangroj atau Singto dan Perawat Sangpotirat atau Krist dari Thailand itu, katanya.
Namun beliau berkata, Jabatan Muzium Malaysia tidak akan sesekali berkompromi dalam isu-isu yang melanggar nilai dan norma masyarakat.
“Pihak kami ingin menegaskan bahawa sesi bertemu peminat oleh Kissing Krist & Signto di Auditorium Muzium Negara sebagaimana yang sedang tular adalah tidak benar.
“Kami mohon kerjasama agar orang ramai tidak mudah mempercayai dan terpengaruh dengan berita dan isu yang tidak benar tanpa mendapatkan pengesahan daripada sumber sah,” katanya.
Terdahulu, sebuah poster program ‘Kissing Krist & Singto’ yang dijadualkan berlangsung pada 20 Oktober ini, di Auditorium Muzium Negara tersebar di media sosial.
Laman Instagram, Maher Seni Sdn Bhd pada awalnya memaklumkan, kedua-dua pelakon itu akan menemui peminat mereka di Malaysia buat pertama kali sejak drama tersebut muncul di kaca televisyen negara jiran pada tahun 2016.
Kedua-dua pelakon itu dijadualkan menemui peminat mereka di Auditorium Muzium Negara pada Sabtu, 20 Oktober depan dan peminat dikenakan bayaran masuk sebanyak RM700 dan RM500.