KUCHING, 5 Okt – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan memperkuatkan lagi keanggotaannya dalam usaha memantau jenayah rentas sempadan, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Panglima Medan Timur TDM, Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata dalam perancangan dua batalion akan dipindahkan ke Sabah manakala tiga lagi akan kekal di negeri ini.
“Itu adalah perkembangan dari segi pembangunan medan timur, dengan itu kita harap perbatasan di Sabah dan Sarawak lebih kukuh, kita boleh memantau apa yang berlaku di sempadan,” katanya pada sidang media selepas perbarisan sempena Lawatan Penghargaan Panglima Medan Timur TDM ke Markas Tiga Briged Infantri di Kem Muara Tuang di sini, semalam.
Hadir sama, Panglima Tiga Briged, Brigadier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati rakyat Malaysia untuk bersama-sama mempertahankan keamanan negara.
“Tanpa keamanan maka tidak akan ada pembangunan, jadi, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, elakkan diri anda daripada terlibat dengan apa-apa perkara yang boleh mengancam serta mengganggu gugat keamanan negara,” katanya. – BERNAMA