Home Pertahanan dan Keselamatan 850 anggota MALBATT 850-5 terima anugerah PNBB

850 anggota MALBATT 850-5 terima anugerah PNBB

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 5 Okt – Seramai 850 pegawai dan anggota Malaysian Battalion (MALBATT) 850-5 menerima Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, semalam.

Mereka terdiri daripada 79 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk 30 pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang diketuai Kol Khairul Anwar Abd Aziz selaku Komander MALBATT 850-5.

Kontinjen MALBATT 850-5 baharu menamatkan misi Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan.

Anugerah itu bagi mengiktiraf kejayaan pasukan berkenaan menjalankan misi UNIFIL di Lubnan selama 12 bulan mulai 20 september 2017.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi mewakili Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menyampaikan anugerah itu yang diadakan sempena perbarisan pembubaran Malbatt 850-5 dan upacara menanggalkan beret biru PBB di padang kawad PUSASDA di sini.

Panglima TenteraDarat mewakili Panglima Angkatan Tentera telah menyempurnakn perbarisan penganugerahn pingat PNBB dan pembubaran MALBATT 850-5 di Padang Kawad PUSASDA, Port Dickson semalam.

Turut hadir ialah Laksamana Madya Datuk Mohd Reza Mohd Zany dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Left Jen Datuk Sri Abdul Mutalib Ab Wahab dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Panglima Angkatan Bersama Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman dan Panglima Tentera Darat Diraja Brunei Brig Jen Datuk Seri Pahlawan Awang Khairul Hamed Awang Lampoh.

MALBATT 850-5 telah diaturgerakkan kembali ke tanah air secara berperingkat-peringkat di mana kumpulan pertama tiba pada 7 September lepas, dan kumpulan terakhir pada 28 September lepas.

Misi seterusnya telah diambilalih oleh MALBATT 850-6 mulai 24 September lepas, juga selama setahun.

Berucap pada majlis itu, Ahmad Hasbullah berkata secara keseluruhannya, prestasi yang dipamerkan oleh MALBATT 850-5 telah berjaya meneruskan kesinambungan kecemerlangan kita di bumi Lubnan.

“Saya difahamkan bahawa pasukan MALBATT 850-5 sentiasa dipandang tinggi dan dihormati oleh pihak UNIFIL. Prestasi kita yang konsisten di sana adalah hasil daripada kejituan komitmen, sikap yang positif dan disiplin yang tinggi. Saya juga gembira kerana sepanjang penugasan, MALBATT 850-5 telah mempamerkan komitmen dan semangat kerjasama yang kental dengan pasukan-pasukan pengaman dari negara-negara lain serta Angkatan Tentera Lubnan dan juga rakyat setempat.

“Kontinjen ini juga telah menonjolkan profesionalisme tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman semasa melaksanakan tugas. Perkara ini telah menjadikan nama negara terkenal dan trup kita disenangi oleh semua pihak. Kita juga bersyukur kerana walaupun kadangkala terpaksa menghadapi kekangan, namun trup kita telah berjaya mengekalkan tahap kesiagaan yang tinggi dan mencapai standard seperti yang telah disasarkan oleh pihak UNIFIL,” katanya.

Hakikatnya, kata beliau MALBATT 850-5 mampu melaksanakan operasi dengan berkesan dalam kawasan tanggungjawab yang semakin luas jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan pengaman dari negara lain.

Sementara itu, Awang Khairul Hamed mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana memberi peluang kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk turut sama menyertai MALBATT 850-5.

“Saya berharap perkara ini akan dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply