Menurut Utusan Online, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, perkara itu akan dinilai semula termasuk cadangan menaikkan jumlah sum­bangan kepada golongan berkenaan menerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera dan Persatuan Bekas Polis Malaysia.

Menurutnya, penilaian semula itu wajar dilaksanakan di peringkat negeri walaupun tanggungjawab menjaga kebajikan golongan veteran tentera dan polis terletak di bawah kerajaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, tahun ini kerajaan negeri akan menyumbangkan sebanyak RM50,000 kepada golongan veteran tentera dan RM20,000 kepada ve­teran polis sama seperti tahun sebelumnya agar pihak terlibat dapat menggunakan peruntukan tersebut sewajarnya demi kebajikan ahli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengha­diri Istiadat Perbarisan sempena Sam­butan Hari Pahlawan peringkat negeri yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Menurut Adly, penilaian semula sumbangan tersebut dilaksanakan dengan mengambil kira kedudukan golongan berkenaan khususnya veteran tentera yang tidak mempunyai pencen sekali gus membantu meringankan beban bekas anggota pertahanan negara itu.

“Selain sumbangan, kerajaan negeri juga sedang menilai se­mula pemberian pingat kebesaran kepada golongan tersebut yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat sebagai tanda penghargaan sumbangan mereka kepada negara,” ujar­nya.