KUALA LUMPUR, 30 Sept – Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Syed Zaid Albar sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkuat kuasa 15 Oktober 2018.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, kemahiran Syed Zaid merentasi pelbagai sektor seperti undang-undang korporat, pasaran modal, sukuk, perbankan Islam dan konvensional.
Berpengalaman lebih 38 tahun di dalam bidang perundangan, beliau pernah menjadi anggota Panel Inkuiri Dana Pampasan dan anggota Jawatankuasa Rayuan di Bursa Malaysia Berhad.
Syed Zaid juga pernah menjadi anggota Jawatankuasa Kajian Undang-undang Kewangan Islam di Bank Negara Malaysia, kata kenyataan itu.
Beliau adalah lulusan ijazah undang-undang dari universiti di United Kingdom dan menjadi peguam di Lincoln’s Inn, London pada 1979. Setahun kemudian, beliau menjadi peguam di Mahkamah Tinggi Malaya.
Selain itu, Syed Zaid pernah berkhidmat di Skrine & Co dan telah menubuhkan syarikat perundangan sendiri – Albar & Partners.
Dalam perkembangan berkaitan, SC dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan persaraanTan Sri Ranjit Ajit Singh sebagai pengerusi berkuatkuasa berkuatkusa mulai 15 Oktober 2018.
SC berkata, Ranjit telah berkhidmat dengan badan itu selama 25 tahun dan memegang jawatan pengerusi sejak 6 tahun lepas.
