Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, parti itu akan bangkit menjadi lebih kuat kerana lebih cepat belajar daripada sejarah lalu.

“Hari Kebangsaan yang disambut hari ini sememangnya sinonim dengan penubuhan UMNO. Kita kena ingat selama 61 tahun mengecapi kemerdekaan, perjuangan itu adalah hasil keringat Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Namun, hari ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuba mematikan beberapa watak dalam UMNO. Siri mematikan watak itu tidak akan habis di situ sahaja, satu-persatu mereka akan cuba lenyapkan.

“Sekalipun begitu, mereka perlu ingat bahawa anak muda yang terdiri daripada golongan profesional atau mahasiswa sendiri akan bangkit selepas fitnah dan janji palsu Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu terbongkar satu demi satu,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas berucap dalam Himpunan Rakyat 100 Hari Janji Tinggal Janji, Merdekakan Rakyat daripada Fitnah di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala, di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pergerakan Pemuda negeri, Noor Hariri Mohamed Noor; Ketua Wanita negeri, Senator Rahimah Mahamad dan Ketua Puteri negeri, Marzuani Ardilla Ariffin.

Majlis yang diadakan sempena tempoh 100 hari PH menjadi kerajaan Persekutuan itu dihadiri oleh seramai 4,000 ahli UMNO daripada tiga sayap di negeri ini.