KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Jabatan Peguam Negara lantik Datuk Sulaiman Abdullah sebagai peguam mengetuai pihak pendakwaan dalam kes terhadap Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwaraya Kanan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Low Taek Jho atau Jho Low serta bapanya.
Peguam Negara, Tommy Thomas, dalam satu kenyataan hari ini berkata, Sulaiman yang dilantik mengikut budi bicaranya di bawah Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan Gopal, di bawah Seksyen 376(3) KTJ, bersetuju memberikan khidmat mereka secara ‘pro-bono’ (percuma).
“Dengan pelantikan dua individu terkemuka dalam Majlis Peguam ini, komitmen kami untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap kleptokrasi terbesar dalam sejarah dunia, sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat Malaysia, sesungguhnya tidak boleh diragukan lagi.
“Sulaiman adalah seorang peguam terkemuka negara, berpengalaman luas dalam undang-undang jenayah, termasuk jenayah kolar putih dan kemahirannya tiada tolok bandingan, kebijaksanaannya tiada saingan selain berintegriti tinggi.
“Gopal Sri Ram pula adalah mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, yang kembali menyertai bidang amalan guaman dan berpengalaman luas dalam hal perundangan jenayah,” katanya.
Tommy juga menjelaskan bahawa, selepas memegang jawatan selama hampir tiga bulan dan mengalami sendiri tuntutan tugas sebagai Peguam Negara, beliau menyedari tidak boleh menggabungkan semua komitmen yang berat itu dan pada masa sama, membuat persediaan untuk mengendalikan perbicaraan kes terhadap Najib selama lapan minggu, yang dijadualkan bermula pada 12 Februari 2019 dan berakhir pada 29 Mac 2019.
Katanya, perbicaraan yang penting dan rumit seperti itu memerlukan perhatian sepenuh masa daripada peguam utama, bukan hanya semasa tempoh perbicaraan tetapi juga sebelum perbicaraan, seterusnya diikuti dengan penyediaan hujahan bertulis yang terperinci selepas perbicaraan, sekali gus menyukarkannya menumpukan sepenuh perhatian ke atas pendakwaan itu.
Sementara itu, tambah beliau, Kertas Siasatan (IP) berhubung pelbagai penipuan berkaitan 1MDB masih belum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis (kecuali satu IP berkaitan Jho Low, yang membawa kepada pendakwaan dan pengeluaran waran tangkap terhadapnya serta bapanya pada minggu lalu).
“Selepas IP diterima daripada agensi siasatan, jabatan ini perlu mengkajinya, menyediakan kertas dakwaan dan mendakwa mereka yang tertuduh menerusi perbicaraan. Keseluruhan proses ini akan dikendalikan Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwaraya Kanan,” katanya.