Naib Presiden PVPNM Zon Utara, Datuk Noridan Spee Yee berkata, pihak bertanggungjawab ter­hadap penyelewengan dana seperti yang didakwa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke perlu dikenakan tindakan undang-undang demi menjaga kepentingan pencarum dan veteran tentera.

“Hari ini, kami mewakili PVPNM Zon Utara telah membuat laporan polis berhubung dakwaan sebanyak RM555 juta wang LTAT telah digunakan untuk mengambil alih operasi AES seperti yang dinyatakan Menteri Pengangkutan pada Jumaat lalu.

“Kami mahu siasatan dijalankan terhadap dakwaan tersebut dan pihak bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan undang-undang. Ini kerana tindakan mereka itu boleh menjejaskan simpanan pencarum,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Presiden PVPNM Malaysia, Azizan Salleh.

Menurut Noridan, menjadi satu kesalahan kepada LTAT untuk menggunakan dananya untuk membiayai mana-mana syarikat bagi apa jua tujuan tertentu.

“Sepatutnya pihak pengurusan LTAT lebih memahami fungsi caruman yang dibuat oleh kira-kira 120,000 orang anggota tentera darat, 18,000 orang anggota tentera laut dan 15,000 orang anggota tentera udara.

“Jika benar berlaku penyelewengan dan pihak bertanggungjawab tidak dikenakan tindakan, sudah tentu perkara tersebut boleh menjejaskan nama baik ATM (Angkatan Tentera Malaysia) sendiri,” ujarnya.