Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Pelaburan Langsung A­sing (FDI) turut menurun daripada RM12 bilion kepada hanya RM2.8 bilion pada tempoh sama itu.

“FDI ini terutamanya dari Hong Kong, United Kingdom dan Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataannya semalam.

Menurut Mohd. Uzir, bagaima­napun Pelaburan Langsung di Luar Negeri (DIA) pula meningkat kepada RM3.6 bilion daripada RM1.3 bilion pada suku pertama lalu dengan pelaburan utamanya kepada Indonesia, Belanda dan India.

Beliau berkata, pelaburan portfolio mencatatkan aliran keluar bersih lebih tinggi RM38.3 bilion pada suku kedua daripada RM2.6 bilion yang direkodkan pada suku sebelumnya.

“Aliran keluar yang besar ini disebabkan oleh penjualan sekuriti hutang asing Malaysia RM29.2 bilion pada suku kedua tahun ini berbanding aliran ma­suk RM0.9 bilion pada suku pertama.

“Sementara itu, pelaburan lain merekodkan aliran masuk lebih tinggi dari suku ke suku berjumlah RM48.4 bilion daripada RM6.4 bilion,” ujar beliau.

Mohd. Uzir berkata, kedudukan liabiliti kewangan pada suku kedua ini turut meningkat kepada RM1,762.7 bilion berbanding RM1,741.4 bilion pada suku sebelumnya.

“Sementara itu, jumlah aset adalah RM1,683.0 bilion daripada RM1,670.1 bilion. Ini menunjukkan liabiliti bersih yang lebih tinggi sebanyak RM79.7 bilion pada akhir suku kedua 2018.

“Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) pula berjumlah RM423.3 bilion, mening­kat berbanding RM416.3 bilion pada suku pertama tahun ini,” jelas beliau.