Beliau seterusnya meluahkan rasa hairan dan pelik dengan tindakan pihak terbabit yang berusaha untuk memberi penghargaan kepada komunis.

Dr. Ahmad Samsuri juga tidak faham bagaimana isu seumpama itu timbul sedangkan Malaysia mencapai kemerdekaan melalui keringat, darah serta nyawa para anggota keselamatan dan golongan inilah yang sepatutnya diberi penghargaan tinggi, bukannya komunis.

“Saya pun tak faham sebab apa isu ini boleh timbul dalam negara kita ini telah capai kemerdekaan dan perjuangan melalui keringat, darah dan nyawa anggota keselamatan kita.

“Penghargaan tinggi seharusnya diberi kepada mereka ini (anggota keselamatan) dan saya tak faham kenapa pihak yang mempunyai pemikiran berbeza (komunis) cuba diberi penghargaan. Saya tak faham dan tak logik langsung,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Menteri Besar mengulas isu berkenaan ketika negara sedang membuat persiapan meraikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bertemakan Sayangi Malaysiaku dan dijadual berlangsung di Putrajaya, 31 Ogos nanti.