Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Eksesais Kekar MALINDO kukuhkan kerjasama tentera Malaysia-Indonesia

Eksesais Kekar MALINDO kukuhkan kerjasama tentera Malaysia-Indonesia

by Air Times News Network

KUCHING, 10 Ogos – Kerjasama angkatan tentera serumpun Malaysia dan Indonesia diperkukuhkan menerusi latihan bersama yang akan diadakan di sini, September ini.

Eksesais Kekar MALINDO Siri 42AB/2018 dijadual dilaksanakan selama 14 hari mulai 3 hingga 16 September di beberapa lokasi sekitar Kuching.

Latihan bersama itu akan dikendalikan Markas 3 Briged Infantri dengan Batalion Ke-10, Rejimen Renjer Diraja akan menjadi pasukan tempur utama mewakili Tentera Darat Malaysia (TDM) manakala Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) akan diwakili Briged Infantri 24/Bulungan Cakti (Brigif 24/BC).

Panglima 3 Briged, Brig Jen Mohd Bustaman Mat Zin dan Komandan Brigif 24/BC, Kolonel Jones Sasmita Muliawan meninjau salah satu lokasi latihan di Kuching. – Foto Berita Tentera Darat Malaysia

Panglima 3 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin, berkata Eksesais Kekar MALINDO dilaksanakan tentera dua negara sejak 42 tahun yang lalu.

“Latihan bersama yang akan dilaksanakan ini adalah salah satu aktiviti bilateral yang diadakan secara timbal balas setiap tahun di antara TNI-AD dengan TDM.

“Eksesais Kekar Malindo ini diadakan sejak 1976 adalah hasil dari persidangan pertama di bawah dasar peraturan dua hala Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia-Indonesia pada 24 – 25 Julai 1972 di Parapat, Sumatera Utara, yang berkisar mengenai kawasan persempadanan antara wilayah Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Mohd Bustaman berkata, bagi memastikan kelancaran latihan bersama itu, satu mesyuarat khas diadakan Selasa lalu bersama pegawai kanan TNI-AD yang diketuai oleh Komandan Brigif 24/BC, Kolonel Inf TNI Jones Sasmita Muliawan.

“Mesyuarat yang diadakan di Markas 3 Briged, Kem Penrissen itu bertujuan menyelaras pelaksanaan Eksesais Kekar MALINDO yang lebih tertumpu kepada perkara logistik dan pergerakan anggota.

“Latihan bersama itu diadakan bagi meningkatkan kesiapsiagaan operasi bersama angkatan bersenjata kedua-dua negara meliputi latihan pos pemerintah dan latihan medan,”katanya.

Katanya, latihan itu juga adalah antara usaha untuk memantapkan “Confidence Building Measures” bagi memperkukuhkan tahap keyakinan dan saling menghormati antara dua negara.

Related Articles

Leave a Reply