Home Semasa Ulama perlu berani menegur – Mufti Perak

Ulama perlu berani menegur – Mufti Perak

by Air Times News Network

IPOH, 4 Ogos – Golongan ulama seharusnya berani menegur pimpinan kerajaan tanpa perlu rasa takut.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, teguran yang diberikan kepada pimpinan kerajaan itu sebenarnya antara peranan penting yang perlu dilaksanakan dalam pentadbiran sesebuah kerajaan.

“Kerajaan dengan ulama dia kekal, kalau kerajaan nafikan ulama akan gagal. Namun, keberanian untuk menegur adakah dia itu berani atau tidak? Takut kena buang (kerja) dan sebagainya.

“Bagaimanapun bagi saya, tak perlu takut. Apa yang hak, saya tegur. Saya pernah menegur pimpinan negara seperti Yang Dipertua Negeri, Negeri Sembilan ketika baginda bergelar Yang di-Pertuan Agong dahulu selain Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor dan ramai lagi,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Harussani berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran Malaysia #QuranHour yang dijadualkan berlangsung, 30 Ogos ini.

Mengenai kenyataan Perdana Menteri yang mahu semua pihak kembali kepada al-Quran, Harussani berkata, ia satu saranan yang perlu diberikan perhatian.

“Kalau kata kembali kepada al-Quran, menteri Melayu kena ambil tahu. Kembali pada ajaran Islam, bidang apa yang patut dibuat. Kita tak tahu ke mana.

“Dia baca apa, dia kata baca tafsir al-Quran dalam Bahasa Melayu. Masalahnya, bolehkan difahami kerana al-Quran bukan ditafsir begitu sahaja. Maksudnya lain. Ia ditafsir dengan Hadis, kalau ambil al-Quran tak boleh faham sendiri.

“Al-Quran ini diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan Nabi Muhammad SAW terangkan. 

Sahabat bangsa Arab pun tak faham bila Nabi terangkan, apatah lagi kita. Itu namanya tafsir yang bawa keluar hadis. Siapa yang mentafsirkan al-Quran dengan pemikirannya itu salah,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply