Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS yakin RUU 355 dibentang di Parlimen

PAS yakin RUU 355 dibentang di Parlimen

by Air Times News Network

KOTA BHARU, 24 Jul – Kerajaan PAS Kelantan optimis kerajaan akan memberi laluan bagi membolehkan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 dibentangkan di Parlimen.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata keyakinan itu bersandarkan bahawa sikap seseorang boleh berubah, begitu juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mengakui ketika Enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 diluluskan sebelum ini, Dr Mahathir yang ketika itu menjadi Perdana Menteri memberi amaran supaya perkara itu tidak diteruskan.

“Namun, apabila Dr Mahathir kini menjadi Perdana Menteri ketujuh, saya melihat sikap itu boleh berubah.

“Sebagai contoh, Dr Mahathir juga menafikan hak royalti Kelantan ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini, namun kini beliau menyatakan kesanggupan untuk membayarnya.

“Kita beranggapan dan berharap isu RUU 355 juga sama seperti isu royalti,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.

Mohd Nassuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti berkata, pihaknya akan mengadakan rundingan semula dengan kerajaan Pusat dan tidak akan berputus asa.

Terdahulu, Md Alwi mencadangkan supaya PAS Kelantan mencuba nasib sekali lagi dengan kerajaan Pakatan Harapan supaya RUU 355 dapat diteruskan.

“Kita berjaya yakinkan kerajaan terdahulu sehingga mereka bersetuju. Tak boleh ke kali ini kita ‘test’ Perdana Menteri yang ketujuh.

“Kita lihat apa yang mereka boleh lakukan dan kita yakin rakyat akan bersama kita untuk sesuatu yang baik mengenai Islam,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply