Home Semasa Royalti Minyak: Sarawak tuntut penjelasan pihak persekutuan

Royalti Minyak: Sarawak tuntut penjelasan pihak persekutuan

by M.Daim

KUCHING, 22 Jul –  Kerajaan Sarawak meminta penjelasan daripada kerajaan persekutuan berhubung bayaran 20 peratus royalti minyak yang dijanjikan kepada Sarawak termasuk negeri pengeluar lain.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, royalti dan keuntungan adalah tidak sama dan Sarawak mahu dapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

“Saya sudah cakap mengenai hal ini sebelum ini dan pendirian kita jelas iaitu kita mahu dapatkan penjelasan daripada mereka kerana royalti dan keuntungan adalah tidak sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama sempena Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SABERKAS Negeri Ke-51 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Pada persidangan Dewan Rakyat Khamis lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjanji akan memberi royalti kepada negeri pengeluar minyak termasuk Sarawak. Pemberian royalti ini merupakan satu daripada janji dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

Bagaimanapun, Tun Mahathir berkata, pemberian royalti tersebut akan dibuat berdasarkan jumlah
keuntungan yang diperolehi.

Pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Kuala Lumpur kelmarin, Tun Mahathir menjelaskan pemberian royalti 20 peratus ini akan dibuat berdasarkan jumlah keuntungan yang diperoleh daripada negeri berkenaan.

“Royalti adalah daripada keuntungan. Jika untung RM100 juta, maka RM20 juta jadi royalti. Ia berdasarkan keuntungan Petronas di sesuatu tempat. Maka apa yang kita kutip di Terengganu tidak akan dibayar kepada Sarawak dan Sabah,” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada sidang media tersebut.

Sarawak dalam pada itu bertegas untuk menuntut bayaran 20 peratus royalti ini berdasarkan pengeluaran dan bukannya keuntungan.

Jika royalti ini dibayar berdasarkan jumlah keuntungan, Sarawak menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkemungkinan akan menerima jumlah yang kecil berbanding lima peratus ketika ini.

Related Articles

Leave a Reply