Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Pelan integriti diharap dapat terus memperkukuh Tentera Darat – PTD

Pelan integriti diharap dapat terus memperkukuh Tentera Darat – PTD

by Air Times News Network

PORT DICKSON, 8 Jul – Pelan Integriti Organisasi Tentera Darat diharap dapat terus memperkukuh integriti pasukan itu terutama melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata pelan itu juga disasar untuk meningkatkan lagi martabat, profesionalisme, komitmen dan kecemerlangan tentera darat.

“Saya berharap agar anggota tentera darat khususnya dapat menjalankan tanggungjawab yang dipikul dengan baik walaupun terdapat beberapa kes yang berlaku (dalam soal integriti) tetapi peratusannya sangat kecil dan tidak sampai satu peratus,” katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Parajurit Muda Siri 185/2017 di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat Lt. Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan Panglima Medan Tentera Darat Lt. Jen Datuk Azizan Md Delin.

Terdahulu Zulkiple dalam ucapannya berkata tahap kematangan dan profesionalisme tentera darat yang menggambarkan kredibiliti serta keupayaan dalam menjalankan tugas turut diakui masyarakat tempatan dan luar negara.

Beliau berkata buktinya peranan yang dimainkan warga tentera darat dalam misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan jelas memberikan impak yang amat positif kepada hubungan baik Lubnan dan Malaysia.

Pada perbarisan semalam seramai 1,578 Perajurit Muda lelaki telah berjaya menamatkan latihan selama enam bulan bermula 9 Dis lalu.

Lima daripada mereka turut dianugerahkan hadiah kecemerlangan iaitu bagi Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik dimenangi Mohd Izwan Mohd Yusof; Akademik Terbaik Muhamad Arif Zainuddin; Kecergasan Jasmani Terbaik Mohamad Saiful Rohaimie Rozeli; Kawad Terbaik Zulhazmi Hamdi dan Penembak Terbaik Mark Hayward ak Henary. — Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!