Home Pertahanan dan Keselamatan Pelantikan Liew boleh tarik bukan Melayu sertai tentera – Arshad Raji

Pelantikan Liew boleh tarik bukan Melayu sertai tentera – Arshad Raji

by Nurulhuda

PETALING JAYA, 8 Jul – Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji, yang mengetuai Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyokong pakar strategi DAP, Liew Chin Tong dilantik sebagai timbalan menteri pertahanan berikutan percaya ia dapat meningkatkan bilangan orang bukan Melayu menyertai angkatan bersenjata itu.

Beliau berkata pada era beliau menjadi anggota tentera pada 1960 ramai orang bukan Melayu menyertai tentera.

“Masa zaman saya banyak. Hanya zaman ini mereka berasa malu untuk jadi tentera,” katanya kepada pemberita.

Liew dikatakan calon untuk jawatan timbalan menteri pertahanan dalam langkah strategi yang diharapkan dapat memecahkan imej satu kaum angkatan itu.

Pelantikannya dijangka dibuat dalam beberapa minggu selepas dilantik menjadi senator, berikutan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempertahankan pelantikan orang bukan Melayu ke jawatan kanan kerajaan yang sekian lama dipegang orang Melayu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas bermesyuarat dengan pemimpin tertinggi PH semalam, mengesahkan individu yang akan diantik menjadi timbalan menteri pertahanan bukan seorang wakil rakyat.

Liew enggan mengesahkan atau menafikan ketika ditanya adakah beliau maklum akan pelantikannya sebagai timbalan kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Sumber tentera memberitahu pelantikan Liew sangat membantu angkatan tentera yang selama ini “bersusah payah untuk mengatasi imej perkhidmatan satu kaumnya itu.”

Arshad berkata mana-mana pihak tidak perlu terikat dengan fikiran bahawa hanya orang Melayu sahaja boleh menjadi menteri atau timbalan menteri di Kementeriam Pertahanan.

Katanya, semua orang layak untuk jawatan itu tanpa mengira kaum kerana semua dilahirkan untuk mempertahankan negara.

“Kita tidak perlu diskriminasi kaum. Isu bangsa tidak harus dimainkan. Kita perlu beri peluang yang sama rata,” katanya.

Jurucakap publisiti MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker tidak bersetuju jika Liew dilantik sebagai timbalan menteri pertahanan.

Beliau berkata Liew telah ditolak rakyat selepas kalah dalam pertandingan merebut kerusi Parlimen Ayer Hitam dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

“Kalaulah DAP melantik Liew semata-mata untuk menarik anggota pasukan keselamatan bukan Melayu, adakah DAP secara tidak langsung mengakui dalam kalangan 40 orang lebih Ahli Parlimen mereka yang dipilih rakyat tidak ada yang mampu berbuat demikian?

“Tiadakah seorang pun yang dapat memainkan peranan menarik orang bukan Melayu menjadi anggota tentera? Adakah tahap kelayakan Ahli Parlimen DAP begitu rendah sekali?,” katanya.

Ti juga berkata dengan mencalonkan Liew, DAP menyanggahi dan melanggar prinsip dan janji yang mereka laungankan untuk tidak memilih ahli jemaah menteri dalam kalangan calon yang kalah atau melalui pintu belakang menerusi pelantikan sebagai senator.

Dalam pada itu, bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hanya mahu dikenali sebagai Mark berkata, beliau meragui mengenai kesan pelantikan pemimpin DAP itu.

“Saya kurang yakin orang bukan Melayu akan kembali menyertai angkatan tentera…sehinggalah kenaikan pangkat diasaskan kepada merit sepenuhnya. Itu pun sebab utama ramai anggota bukan Melayu meninggalkan perkhidmatan,” kata beliau.

Related Articles

Leave a Reply