Home Semasa PDRM akan bawa Jamal pulang – KPN

PDRM akan bawa Jamal pulang – KPN

by Noor Sheila Amin

KUALA LUMPUR, 3 Jul – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berurusan dengan pihak Kepolisan Negara Republik Indonesia (POLRI) untuk menyelaraskan proses membawa pulang Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos ke Malaysia bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap beliau.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Indonesia berhubung tangkapan terhadap beliau.

“Susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, PDRM mengesahkan bahawa pihak berkuasa Indonesia sudah menghubungi PDRM untuk memaklumkan tangkapan ke atas Datuk Seri Jamal Yunos di Indonesia.

“PDRM sedang berurusan dengan pihak Kepolisan Negara Republik Indonesia (POLRI) untuk menyelaraskan proses membawa pulang Datuk Seri Jamal ke Malaysia bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap beliau.

“Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

NSTP melaporkan penangkapan Jamal yang juga Pengerusi Gerakan Baju Merah di Indonesia pada jam 6.15 petang semalam yang disahkan oleh Muhyiddin menerusi satu kenyataan.

Berdasarkan sumber, Jamal dipercayai ditahan pihak berkuasa negara itu di sebuah kedai gunting rambut di Jakarta.

Sebelum ini, Jamal, 48, yang sedang menjalani rawatan sakit belakang dilaporkan menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri dan kehilangannya disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang, 25 Mei lalu.

Beliau sebelum ini didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Jamal bagaimanapun mendakwa berlaku salah faham berhubung proses ikat jaminnya yang dilakukan di hospital itu dan menyangka proses berkenaan sudah selesai sebelum beredar keluar untuk ke Tabung Haji bagi mengeluarkan wang.

Bagaimanapun, ketika diburu, Jamal pernah memuat naik video menyatakan masih berada dalam negara dan memaklumkan bahawa usaha kerajaan meminta kerjasama daripada pihak berkuasa negara luar termasuk polis antarabangsa (Interpol) adalah tindakan sia-sia.

Malah, Mohamad Fuzi sebelum ini memaklumkan bahawa waran tangkap dikeluarkan ke atas Jamal mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.

Related Articles

Leave a Reply