Home PolitikBarisan Nasional Umno sedia berkerjasama dengan PAS demi Melayu, Islam

Umno sedia berkerjasama dengan PAS demi Melayu, Islam

by Nurulhuda

PETALING JAYA, 27 Jun – Umno bersetuju bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk PAS selepas Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kedudukan di peringkat Persekutuan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Calon naib presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pintu kerjasama di antara semua pihak tidak seharusnya ditutup demi kepentingan Melayu dan Islam.

“Kita boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja, tidak terhad kepada PAS asalkan membawa keuntungan kepada Melayu dan Malaysia secara amnya. Jadi sesiapa sahaja.

“Tidak boleh tutup pintu kerjasama, InsyaAllah, yang penting hak bumiputera, Islam, dan kedudukan raja-raja Melayu dijaga, begitu juga kedudukan bahasa Melayu dan sebagainya,” katanya kepada pemberita.

Selepas kekalahan pada PRU14, Gerakan memutuskan untuk keluar BN menyebabkan gabungan itu kini hanya mempunyai 3 parti termasuk Umno, berbanding 13 parti sebelumnya.

Bekas menteri kabinet itu berkata, keperluan BN kepada Umno juga perlu dikaji semula selepas pemilihan Umno tamat memandangkan hanya beberapa parti komponen sahaja yang tinggal.

“Bagi saya kita perlu kaji semula dan lihat kembali keperluan BN itu sendiri, kalau lihat BN sendiri tinggal beberapa parti sahaja iaitu MIC dan MCA. Bahkan saya percaya 2 parti ini juga akan buat keputusan mereka.

“Sarawak juga beranggapan jenama BN itu tidak mampu bawa kemenangan pada mereka dalam pilihan raya negeri 2 tahun akan datang, sebab itu mereka rasa perlu ada jenama sendiri,” katanya.

Tambahnya, masih terlalu awal juga untuk bincang mengenai keperluan Umno di Sarawak ketika ini memandangkan agenda utama untuk mengukuhkan parti masih belum terlaksana.

“Saya rasa terlalu awal untuk bincang soal Sarawak, lebih baik bincang untuk perkukuhkan apa yang ada, jangan terlalu yakin dengan apa yang kita ada sedangkan kita masih huru-hara.

“Jangan cakap soal di Sarawak, kita juga perlu kukuhkan komponen di Sabah yang sudah keluar. Jadi sebelum fikir lebih jauh biar kita lakukan transformasi dalam Umno dahulu.”

Related Articles

Leave a Reply