Home PolitikPakatan Harapan ROS serah notis pembubaran sementara PPBM

ROS serah notis pembubaran sementara PPBM

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 17 Mei – Pendaftar Pertubuhan telah membatalkan notis pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkuat kuasa semalam (16 Mei), kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Beliau berkata pembatalan notis pembubaran sementara PPBM bertarikh 5 April 2018 di bawah Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 itu selaras dengan Seksyen 14(6) akta yang sama.

Menurut Alwi, di bawah Seksyen 14(6), Pendaftar Pertubuhan boleh membatalkan notis di bawah Seksyen 14(5) apabila maklumat-maklumat yang diminta itu telah diberikan.

“Keputusan tersebut telah dicapai setelah pertimbangan ke atas maklumat-maklumat yang dikemukakan oleh pihak PPBM yang diterima oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ROS pada 5 April mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan, yang memperuntukkan PPBM diberi tempoh 30 hari untuk menghantar semua dokumen diperlukan ROS.

Dengan penyelesaian isu tersebut, Alwi berkata permohonan pendaftaran Pakatan Harapan (PH) juga telah diberikan kelulusan selaras dengan Seksyen 7 akta yang sama semalam (16 Mei).

“Oleh demikian, pihak PPBM dan Pakatan Harapan boleh menjalankan aktivitinya selaras dengan objektif dan perlembagaan berdaftarnya serta menjalankan setiap urusan mengikut kehendak Akta 335,” kata Alwi.

Semalam, Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhiyiddin Yassin berkata PH telah diluluskan sebagai sebuah parti gabungan empat parti yang sah setelah permohonan itu diluluskan oleh ROS semalam.

PH adalah gabungan parti politik iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PPBM.

Sementara itu, PH dalam laman Facebook telah memuat naik gambar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PH menerima Sijil Pendaftaran PH daripada Alwi.

Penerimaan sijil itu turut disaksikan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Presiden Amanah Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan) dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (Menteri Kewangan).

Related Articles

Leave a Reply