KUALA LUMPUR, 7 Mei – Kira-kira 10,000 hadir di program ‘Tsunami Rakyat’ anjuran Pakatan Harapan (HARAPAN) semalam di Hulu Kelang.
Program itu mencatatkan antara kehadiran tertinggi siri kempen pakatan pembangkang menjelang pilihan raya umum (PRU) yang berbaki dua hari saja lagi.
Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad tiba pada pukul 10.30 malam disambut laungan slogan “Hidup Tun!” dan kerlipan lampu telefon sambil diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Dr Mahathir dalam ucapannya memuji hadirin yang sanggup berhujan dan menyifatkan ia menunjukkan rakyat bersungguh-sungguh mahu menukar kerajaan.
Bekas perdana menteri itu juga mendakwa BN mungkin menggunakan taktik kotor sekiranya HARAPAN hanya menang dengan majoriti tipis.
Pengacara majlis sebelum itu mengumumkan bahawa 70,000 pengguna media sosial sedang menonton ceramah secara langsung.
Terdahulu, hadirin tiba seawal 8 malam menunggu ketibaan barisan pemimpin HARAPAN yang dijadual hadir. Sekitar 8.30 malam hujan mula turun, namun hadirin dilihat tidak berganjak.
Antara yang sempat berucap adalah anak bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Abdul Aziz yang dalam ucapannya menggesa hadirin agar memikirkan masa depan anak-anak mereka.
“Beri HARAPAN peluang untuk selamatkan negara,” katanya.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut mengambil alih pentas berkata, masa untuk BN sudah habis dan kemenangan semakin hampir buat HARAPAN.
Sementara Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam ucapannya berkata kehadiran rakyat pelbagai bangsa membuktikan bahawa rakyat bersatu padu.
Mohamed Azmin menekankan bahawa orang Melayu tidak perlu rasa terancam kerana menurutnya HARAPAN akan bersikap adil kepada semua bangsa.
Bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz yang sekali lagi tampil di pentas HARAPAN pula berkata skandal 1MDB menjadi isu “paling laris” di seluruh dunia.
Program yang bertempat di padang bola sepak AU2, Taman Keramat itu turut menampilkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden AMANAH Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, bekas menteri Tun Daim Zainuddin dan sasterawan negara Datuk A Samad Said.