Home PolitikBarisan Nasional Tanah Airku Maju: Manifesto BN Sabah penuhi kehendak rakyat

Tanah Airku Maju: Manifesto BN Sabah penuhi kehendak rakyat

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 26 Apr – Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman malam tadi telah membentangkan Manifesto Barisan Nasional (BN) Sabah yang disifatkan sebagai aku janji menyeluruh dan menepati kehendak segenap rakyat negeri ini.

Pemangku Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau, berkata perkara sering disuarakan rakyat Sabah sebelum ini, termasuk berkaitan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), terkandung dalam manifesto berkenaan.

“Semua keprihatinan dan kehendak rakyat Sabah sudah dimasukkan ke dalam manifesto ini bermula dengan MA63.

“Aspek hubungan kaum juga dititik berat dengan penubuhan Unit Hal Ehwal Bukan Islam di Jabatan Ketua Menteri,” katanya.

Manifesto bertema ‘Tanah Airku Maju’ untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu mengandungi 20 komitmen BN Sabah, antara lain memelihara hak Sabah dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, manifesto berkenaan juga menyaksikan komitmen usaha BN menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) sehingga dapat diatasi sepenuhnya.

“Selain itu, BN menyatakan komitmen supaya sistem penyampaian berkesan dilaksanakan untuk terus menangani isu tanah,” katanya.

Madius yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, seperkara turut menarik ialah manifesto BN Sabah mengiktiraf industri kreatif sebagai sumber ekonomi baharu.

Katanya, ia sekali gus mempelbagaikan aktiviti ekonomi negeri, selain memperkukuh sumber sedia ada seperti pertanian, pelancongan serta minyak dan gas.

“Bukan itu sahaja, pembangunan untuk belia tidak dilupakan. Malah, BN negeri memasukkan usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang tentunya memberi manfaat kepada golongan belia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Sabah, Yamani Hafez Musa, berkata manifesto berkenaan adalah hasil pandangan akar umbi dan disusun mengikut kepentingan kepada rakyat negeri ini.

“Sehubungan itu, komitmen pertama ialah berkaitan hak rakyat Sabah dalam MA63 kerana ia sangat penting, diikuti soal hubungan antara agama dan kaum.

“Isu lain dianggap sangat penting, iaitu PATI juga dimasukkan. Ini menunjukkan kesinambungan komitmen BN untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Katanya, harapan belia melalui aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50), terutama berkaitan pekerjaan dan rumah mampu milik, turut diberikan perhatian.

Related Articles

Leave a Reply