KUALA LUMPUR, 24 Apr – Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk memberikan cuti tambahan kepada rakyat Malaysia pada Khamis dan Jumaat, 10 dan 11 Mei sekiranya berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, rakyat bakal menikmati lima hari cuti umum; Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad serta ditambah dengan cuti umum yang jatuh pada hari pengundian, 9 Mei.
Beliau berkata cuti tambahan itu bagi menggalakkan dan meyakinkan rakyat untuk pulang mengundi dan seterusnya menyambut ‘kemenangan rakyat’.
Tun Mahathir dalam ucapannya berkata sistem demokrasi yang dilaksanakan kerajaan BN telah banyak membawa keburukan kepada negara.
Justeru itu, beliau mahu calon dan rakyat menggunakan sistem demokrasi ini secara lebih berhemah untuk memastikan pemerintahan yang lebih baik apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.
“Kita mesti bertangungjawab kerana kita mengambil berat tentang masalah dan prestasi negara”, ujarnya.
“Sistem demokrasi memberi hak kepada 30 juta rakyat termasuk pengundi untuk tentukan siapa akan memerintah negara ini”, tambah Tun Mahathir.
“Tetapi parti (PH) tidak boleh ambil alih kuasa melainkan kita adakan pemilihan. Pada 9 Mei kita akan ada pemilihan yang amat berat tanggungjawabnya begitu juga calon yang dipiih”, ujarnya lagi.
Sungguhpun begitu kita tidak boleh jamin yang dipilih itu akan baik bila berkuasa kelak kerana mereka juga sama seperti manusia lain.
“Walaupun kita lalui proses pemilihan dengan baik tetapi kita tidak boleh tentukan yang dipilih itu menjalankan tugas yang boleh diharapkan oleh rakyat,” jelas Tun Mahathir.
Justeru beliau berkata dengan pemerintahan kerajaan BN yang mencemarkan nama negara, menjadi tanggungjawab calon PH pula untuk mengubahnya apabila tertubuhnya kerajaan baharu.
PH hari ini mengadakan Majlis Taklimat Calon-calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi Pilihan Raya Umum ke14 di Dewan Auditorium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.
Dalam majlis tersebut turut diadakan majlis ikrar calon-calon PH yang telah dibacakan oleh Ketua Pemuda PH Nik Nazmi Nik Ahmad.