Kuala Nerus, 14 Apr – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata Barisan Nasional Terengganu bakal meletakkan calon wanita di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang tewas kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum sebelum ini.
Ahamd Razif yang juga Pengerusi BN dan Badan Perhubungan Umno Negeri, bagaimana pun tidak menyatakan secara terperinci nama-nama calon wanita yang bakal bertanding di kawasan berkenaan.
“Kita akan letakkan calon wanita di 15 kerusi DUN yang masih kita belum menang dan empat kerusi (Parlimen) yang tewas kepada pembangkang.
“Ketika ini saya belum tahu berapa calon wanita dan diharap apabla kita letak mereka, ia boleh membawa kemenangan di kerusi-kerusi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh Terengganu di Kuala Nerus hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke 13, 14 DUN Terengganu dimenangi oleh PAS dan satu oleh PKR manakala empat kerusi Parlimen dimenangi oleh PAS.
Dalam pada itu Ahmad Razif berkata satu ‘pasukan krisis’ akan ditubuhkan dalam BN Negeri bagi memastikan masalah dalaman parti dapat diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).
Katanya, ia usaha parti bagi menguatkan jentera pilihan raya dan memastikan mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan besar BN pada PRU kali ini.
Ahmad Razif dalam masa sama juga berharap mana-mana pihak yang tidak tercalon pada agar dapat menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka dan terus menyokong parti bagi memastikan kemenangan BN pada PRU kali ini.
“Bagi calon yang tidak terpilih, terimalah keputusan itu sebaiknya kerana ini adalah ketentuan. Saya rasa mereka semua berjiwa besar dan terus membantu kita bagi memenangi PRU nanti. Dulu orang bantu kita, sekarang kita pula bantu orang lain.
“Dengan komitmen yang kuat daripada mereka, insya-Allah walaupun mereka tidak jadi wakil rakyat, mereka akan diberi tempat terutamanya dalam kerajaan…yang penting kena menang dulu,” katanya.