Home SemasaGlobal Yulia Skripal semakin pulih

Yulia Skripal semakin pulih

by Noor Sheila Amin

London, 7 April – Yulia Skripal yang diracun bersama-sama bapanya di Britain bulan lalu, semalam berkata, beliau semakin pulih, dalam kenyataan umum pertama dalam kes yang mencetuskan krisis diplomatik meruncing dan kontroversi antara Moscow dan Barat.

“Saya sedar lebih seminggu lalu dan gembira kerana kekuatan saya semakin pulih setiap hari,” Yulia Skripal dipetik sebagai berkata dalam kenyataan yang disiarkan polis.

Britain menyalahkan Russia di atas kes racun Yulia dan bapanya, Sergei, bulan lalu tetapi Moscow menyangkal keras dakwaan itu.

Yulia berkata, beliau mendapati kejadian itu ‘mengelirukan’ tanpa memberikan maklumat lanjut mengenai serangan itu dalam kenyataan ringkasnya.

Beliau dan bapanya, seorang bekas pengintip Kremlin, ditemui dalam keadaan kritikal di atas bangku taman awam di Salisbury pada 4 Mac lalu.

Krisis itu membawa kepada gelombang pengusiran diplomat antara Moscow dan negara Barat.

Terdahulu, stesen televisyen Russia menyiarkan rakaman telefon tidak disahkan antara Yulia dan sepupunya yang tinggal di Moscow.

Dalam panggilan itu, wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Yulia Skripal, berkata beliau dijangka dibenarkan keluar dari hospital tidak lama lagi dan bapanya, Sergei, ‘sihat’.

Hospital yang menempatkan kedua-dua beranak itu, dalam kenyataan terbaru minggu lalu berkata Sergei masih dalam keadaan kritikal.

Related Articles

Leave a Reply