Home Semasa Tenaga kerja wanita penting untuk negara

Tenaga kerja wanita penting untuk negara

by Air Times News Network

KOTA KINABALU, 30 Mac – Tenaga kerja wanita mampu membawa kemajuan kepada sesebuah pertubuhan berikutan kelebihan mereka memiliki kebolehan tersendiri yang dapat membantu operasi tempat mereka bekerja.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau, berkata, pengasas Kumpulan Alibaba, Jack Ma yang juga orang terkaya di China, memiliki 47 peratus kakitangan wanita dalam syarikatnya.

“Wanita ada bakat semulajadi dalam mengurus (operasi) kerana mereka sangat fokus. Selain itu, mereka juga suka berkongsi (antara lain), yang mana elemen kerjasama sangat ketara dengan era digital berbanding daya saing.

“Ciri ketiga wanita yang berbakat ialah mereka adalah pendengar yang baik. Jack Ma pernah berkata bahawa sesiapa yang boleh mendengar keperluan pelanggan mereka akan membantu syarikat melakukan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bertemakan ‘Ke Arah Wanita Inovatif’ di sini, malam tadi.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, membuat ketetapan bahawa negara menghargai kebolehan wanita dan mewajibkan organisasi mengambil sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga kerja wanita selain mengumumkan peruntukan untuk memperkasa wanita melalui Bajet 2018.

Katanya, berdasarkan kemasukan wanita yang mencapai hingga 80 peratus dalam institut pengajian tinggi, beliau yakin tenaga kerja wanita mendapat permintaan yang tinggi.

Sementara itu, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran, berkata tahun 2050 dipilih untuk mencapai sasaran global sebagai negara berstatus sifar pengeluaran karbon.

“Kehidupan selepas tiga dekad akan datang adalah sesuatu yang kita tidak pernah bayangkan. Kita bercakap mengenai revolusi yang mana kita tidak lagi menggunakan bahan api fosil, sebaliknya menggunakan teknologi hijau dan mengamal pakai sains dalam kehidupan harian.

“Di pihak kementerian, kita sentiasa mengenal pasti kebolehan untuk mengendalikan teknologi, menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial menggunakan kaedah yang inovatif,” katanya.

Tambah beliau, teknologi dan inovasi adalah aspirasi kepada semua orang untuk bergerak ke hadapan khususnya dalam aspek sosio ekonomi.

“Industri dan usahawan perlu mengguna pakai teknologi, jika tidak mereka tidak dapat berkembang dengan baik.

“Mengenai penurunan pelajar memilih bidang sains, kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mengatasi isu ini,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply