Pasir Puteh, 16 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli dan pimpinan Umno Kelantan supaya tidak bergaduh sesama sendiri kerana ia akan menjejaskan misi BN menawan negeri berkenaan dalam PRU14 nanti. Menurut beliau lagi, unsur cas keting memang wujud walaupun tidak serius seperti yang berlaku pada PRU13 lalu.
Bagaimanapun katanya, masalah itu diberi perhatian kerana PRU14 merupakan peluang terbaik untuk BN merampas Kelantan. “Jange gocoh (jangan gaduh) sesama sendiri, jange cas keting kalau kita nak menang. Rakyat Kelantan menunggu terlalu lama untuk kembali berada di bawah pimpinan BN.
“Set alik sana (pihak lawan) kini dalam keadaan ‘kucar bojeng’ (tidak menentu), jadi inilah masanya untuk kita mengucapkan selamat tinggal kerana ini masa untuk BN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Terbuka, Kompleks Uthmaniyah, Pulau Lima di sini, hari ini.