Home Diskusi HARI MALAYSIA

HARI MALAYSIA

by Air Times News Network

Hari Malaysia akan disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia pada tarikh yang sama pada tahun 1963. Ianya telah menandakan penyertaan bersama di antara Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini sebenarnya telah dirancangkan pada 1 Jun 1963, namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ianya disambut bersama-sama dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-6 ketika itu. Bantahan dari Indonesia dan Filipina mengenai beberapa isu berkaitan dengan pembentukan Malaysia telah memperlambatkan pengisytiharannya pada 16 September tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Rasional Tema dan Logo Hari Malaysia 2017

Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia adalah bertemakan “Negaraku Sehati Sejiwa“.

Penetapan tema tersebut sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan Ke-60 dan Hari Malaysia 2017 memberi maksud bahawa pentingnya rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama saling memahami dan hormat menghormati serta bersatu padu untuk menentukan masa depan negara agar terus gemilang, stabil dan aman damai.

Tema tersebut juga dilihat menepati dan sejajar dengan usaha kerajaan yang komited memberi penekanan kepada rakyat untuk memahami pahit getirnya mencapai kemerdekaan dan memastikan semangat bersatu padu serta muafakat terus dicapai demi kemakmuran negara.

Sehati Sejiwa yang bermaksud Kesepaduan, Kesefahaman, Kekitaan dan Kemanusiaan seluruh rakyat di Malaysia selain melambangkan semangat kesepaduan yang dimiliki oleh rakyat tidak kira di mana mereka berada. Selain menyemarakkan semangat patriotisme serta memperluas dan memperkukuhkan semangat kekitaan, “Negaraku Sehati Sejiwa” juga seiring dengan perpaduan atau kesepakatan yang menjadi penggerak kepada agenda memperkasakan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia.

Penubuhan Malaysia Membawa Perubahan Kepada Negara

Menyusur semula pembentukan Malaysia yang direalisasikan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, tarikh 16 September 1963 sememangnya memberi perubahan kepada negara khususnya dalam penyatuan 14 buah negeri sebagai Malaysia yang terdiri daripada 11 negeri Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak yang jumlah penduduknya menjangkau hingga 10 juta orang waktu itu. Ianya telah disuarakan oleh Tunku pada Mei 1961 lagi melalui satu ucapannya dalam Persatuan Wartawan Asing Asia-Tenggara di Singapura.

Dalam ucapan tersebut, Tunku telah mencadangkan agar Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei digabungkan dalam satu kesatuan atau satu negara yang disebut sebagai Malaysia. Kata Tunku dalam ucapannya, “Persekutuan Tanah Melayu tidak mampu wujud secara bersendirian tanpa kerjasama politik dan ekonomi dengan Singapura, Sabah dan Sarawak”.

Selepas cadangan tersebut disuarakan oleh Tunku, pelbagai pihak mula menyuarakan pendapat mereka hinggakan penubuhan Malaysia tersebut menjadi topik perbincangan hingga ke peringkat antarabangsa. Ramai pihak yang menyokong cadangan tersebut khususnya pemimpin-pemimpin rakyat dalam negeri-negeri Singapura, Sarawak dan Sabah yang menganggap cadangan tersebut akan dapat membantu mereka membebaskan diri dari kuasa penjajah Inggeris.

Lanjutan dari cadangan itu, Tunku telah mengambil tindakan dengan mengadakan rundingan bersama Perdana Menteri British di London. Hasilnya, sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan bagi memastikan rancangan tersebut berjaya dan mendapat persetujuan semua pihak. Suruhanjaya tersebut telah dipengerusikan oleh Lord Cobbold dengan diwakili oleh wakil-wakil dari Tanah Melayu dan Kerajaan British.

Tujuan utama suruhanjaya tersebut dibentuk adalah untuk menyiasat pendapat dan persetujuan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai penubuhan gagasan Malaysia ini. Usaha untuk menyatukan negeri-negeri tersebut di bawah satu gagasan telah mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya dari para penduduk di Sabah dan Sarawak.

Namun begitu, usaha murni untuk menuju kepada penubuhan sebuah negara baru terhalang apabila berlaku pemberontakan yang dilakukan oleh Sheikh Azhari di Brunei pada 8 Disember 1962. Ini diikuti dengan pengisytiharan konfrantasi Indonesia yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno sebagai tentangan terhadap gagasan Malaysia ini.

Konfrantasi yang dilancarkan juga telah berterusan selama tiga tahun hingga mengakibatkan berlaku pertumpahan darah dan memaksa kepada campur tangan tentera. Penubuhan Malaysia menerima tentangan keras dari Indonesia di bawah dengan slogan “Ganyang Malaysia”. Misalnya dapat dilihat dalam pertempuran di antara pasukan tentera dengan angkatan rejim Sukarno di satu Pos Sementara tentera di Kalabakan, Tawau, Sabah.

Serangan yang berlaku pada waktu maghrib ini telah mengorbankan seramai tujuh orang dan mencederakan 16 orang yang lain. Begitu juga dengan serangan yang berlangsung di Pontian, Labis, Kota Tinggi dan Batu Pahat di Johor. Tentangan ke atas penubuhan Malaysia mengakibatkan pertempuran yang hebat antara tentera kedua-dua negara.

Manakala di Manila pula, terdapat tuntutan ke atas Sabah dikembalikan kepada Filipina atas alasan ia adalah milik keturunan Sultan Sulu yang telah membuat perjanjian dengan Kerajaan British pada tahun 1878. Perselisihan pendapat dan pertikaian ini telah berlarutan dan semakin meruncing hingga memecah belahkan keamanan yang ada di Asia Tenggara. Bagi menyelesaikan masalah tersebut dan memulihkan keamanan di rantau Asia Tenggara, maka suatu persidangan kemuncak telah diadakan antara ketua-ketua tiga negara yang terlibat dalam pertikaian iaitu Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina.

Akhirnya, penubuhan Malaysia ini dapat dicapai dengan jayanya walaupun mendapat tentangan dalam bentuk ketenteraan dari negara-negara lain. Dalam persidangan kemuncak di Manila yang berlangsung pada akhir bulan Julai 1963, tolak ansur telah berlaku antara negara-negara terbabit dan tarikh pengisytiharan negara baru Malaysia akan diumumkan selepas Setiausaha Agong PBB berpuas hati dengan kehendak rakyat dari wilayah Sabah dan Sarawak. Dalam pada itu, Brunei tidak turut sama dalam pembentukan Malaysia kerana gagal mencapai persetujuan mengenai negerinya.

Rentetan Peristiwa

27 Mei 1961: Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman semasa Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura telah menegaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Brunei dan Sarawak ke dalam satu bentuk kerjasama politik.

23 Julai 1961: Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia dipengerusikan oleh Donald Stephen.

Ogos 1961 : Mesyuarat pertama Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Sabah.

18-20 Disember 1961 : Mesyuarat kedua Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Kuching, Sarawak.

6-7 Januari 1962 : Mesyuarat ketiga Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Selangor Legislative Assembly Chamber, Kuala Lumpur.

17 Januari 1962 : Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak. Suruhanjaya dianggotai oleh lima orang ahli iaitu Lord Cobbold, Dato’ Wong Pow Nee, En. Mohd Ghazali Shafie, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston. Mr H. Harris bertindak sebagai Setiausaha.

3-4 Februari 1962 : Mesyuarat keempat Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia.

21 Jun 1962 : Laporan Suruhanjaya Cobbold telah disiapkan dan dikemukakan kepada kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Julai 1962 : Kata sepakat dicapai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Tuan Harold MacMillan Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan.

9 Julai 1963 : Perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

16 September 1963 : Upacara pengisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

16 September Diisytihar Cuti Umum, Hari Malaysia

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.  Mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri-negeri di Malaysia.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah mengumumkan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun 2010. Beliau mengumumkan perkara itu sewaktu persidangan di Dewan Rakyat dengan menyatakan bahawa pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting. Beliau turut merungkai persoalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr. Marcus Mojigoh yang bertanya mengenai sejauh mana penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia dan jenis-jenis program yang difikirkan berkesan untuk mencapai hasrat tersebut.

Mencari Nilai Hari Malaysia

Kempen mengibar jalur gemilang boleh menjadi wadah untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara serta memupuk perpaduan di kalangan pelbagai lapisan masyarakat. Pada hari tersebut seharusnya rakyat di seluruh negara dapat merapatkan lagi hubungan antara kaum dalam suasana muhibah. Gagasan 1Malaysia akan bertambah mudah jika semua kaum dapat bersatu menjadi sebuah masyarakat yang kukuh jati dirinya.

Seharusnya, keharmonian dan kesejahteraan yang dikecapi sejak sekian lama ini wajar dipelihara dan dikekalkan agar dapat terus dikecapi oleh generasi akan datang.

 

Related Articles

Leave a Reply