LUMUT, 18 Sept – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) mengadakan latihan bilateral buat julung kalinya tanpa penglibatan perkhidmatan lain secara terus.
Timbalan Panglima Armada Barat TLDM, Laksamana Pertama Abu Bakar Mohd Ajis berkata kira-kira 500 anggota TLDM dari Armada Barat termasuk hampir 100 anggota tentera laut AS terbabit dalam eksesais ‘Maritime Training Activity’ (MTA) bermula hari ini sehingga 26 Sept.
“Eksesais ini melibatkan dua fasa iaitu Fasa Pelabuhan di Tambatan Pangkalan Lumut mulai hari ini hingga 23 Sept manakala Fasa Laut mulai 24 hingga 26 Sept,” katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan eksesais MTA TLDM-US Navy 2017 di sini hari ini.
Turut hadir Deputy Commodore of Destroyer Squadron 7 (Desron 7) tentera laut AS, Kapten Matthew Jerbi di Pusat Taktikal Maritim (Pustakmar) di sini.
Menurut Abu Bakar, latihan itu melibatkan aset Armada Barat TLDM iaitu KD Lekiu bersama sebuah pesawat Super Lynx dan KD Lekir manakala aset Armada US Navy adalah kapal USS Coronado bersama sebuah pesawat MH-60S.