KUALA LUMPUR, 11 Apr – Seramai 39 ahli Parlimen telah melompat parti sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga menyaksikan pertukaran 3 orang Perdana Menteri dalam satu penggal Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keadaan ini merupakan satu isyarat yang jelas menunjukkan amalan demokrasi negara kini tidak sihat dan berada pada tahap membimbangkan.
Menurutnya, umumnya tindakan ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap wakil rakyat yang dipilih memilih melalui pilihan raya umum.
“Sikap dan tindakan bertukar parti oleh ahli Dewan Rakyat secara langsung juga membuat rakyat menilai kesetiaan mereka terhadap parti mewakili dan dalam masa sama memberi kesan kepada amalan demokrasi negara,
“Justeru seperti mana semua sedia maklum usaha menambah baik sistem pentadbiran negara melalui pelbagai inisiatif transformasi pentadbiran secara kerjasama dwi partisan kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah diterjemah melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September 2021 antaranya termasuk perkara 2.1 mengenai keperluan membentang dan melulus Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian, ketika membentang Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (no.3) 2022 dalam Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, adalah menjadi usaha kerajaan untuk menangani perkara itu dengan mengambil kira keadaan politik negara membabitkan wakil rakyat yang bertukar parti.
“Istilah lain sering diguna pakai di negara luar misalnya defection, party jumping atau floor crossing yang mana boleh diterjemah sebagai pembelot parti atau bertukar kesetiaan kepada parti lain,
“Keadaan ini menimbulkan perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum kerana melibatkan mandat ataupun kepercayaan wakil rakyat,” jelasnya.
Tambahnya, penggunaan istilah ‘anti lompat parti’ hanya bersifat sementara, sebaliknya nama sewajarnya diperhalusi dalam RUU nanti. -airtimes.my