Ibarat tradisi pada setiap tahun, baru-baru ini Jabatan Peperangan Amerika Syarikat (US Department of War , US DOW) telah mengeluarkan Laporan Kuasa Tentera China (CMPR) 2025. Dokumen ini bukan sekadar laporan semata-mata tetapi ia juga merupakan satu penanda aras Beijing dari kaca mata Washington.
Apa yang menarik perhatian dalam laporan edisi terkini adalah bukan mengenai jumlah kapal atau pesawat, tetapi bagaimana China sedang membina satu ekosistem industri yang mampu menyokong operasi ketenteraan berskala besar secara mandiri.
Laporan tahun ini telah menyentuh keupayaan industri China yang disifatkan sebagai “nyawa” kepada pemodenan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA). China kini kekal sebagai negara pengeluar kapal terbesar di dunia, dan kapasiti limbungan kapal komersial ini digunakan sepenuhnya untuk menyokong pembinaan armada tentera laut yang pantas.

Industri pertahanan China berkupayaan dalam menyokong pembinaan armada tentera laut China./Foto: CIMSEC
Lazimnya, China amat dikenali dengan kemampuan untuk melakukan kejuruteraan balikan (reversed engineering) terhadap satu-satu produk. Laporan oleh US DOW menyifatkan bahawa industri aeroangkasa China juga semakin matang. Jika lima tahun lepas mereka masih bergantung harap kepada enjin buatan Rusia, trend terkini menunjukkan import senjata China telah menurun sebanyak dua pertiga.
Beijing kini semakin yakin menggunakan enjin buatan tempatan untuk pesawat tempur dan pengangkut mereka, satu indikator bahawa mereka telah mengatasi halangan teknologi yang kritikal.
Belanjawan Petahanan Sebenar vs Angka Rasmi
Dari sudut perbelanjaan pertahanan, Beijing telah memperuntukkan sebanyak $231 bilion bagi tahun 2024, peningkatan 5.2% berbanding tahun sebelumnya. Namun, penganalisis US DOW menganggarkan angka sebenar adalah jauh lebih tinggi dan mungkin mencecah antara $304 bilion hingga $377 bilion.

Peruntukan perbelanjaan pertahanan China terus meningkat./Foto: CSIS China Power Project
Perbezaan angka ini wujud kerana rangka belanjawan rasmi tidak memasukkan perbelanjaan kajian dan pembangunan (R&D), perolehan secara import, serta dana untuk pasukan separa tentera.
Walaupun pasukan separa tentera kedengaran seperti bukan satu elemen penting , sebenarnya elemen ini juga merupakan komponen penting dalam strategi pertahanan menyeluruh China.
Sasaran 2027 dan Luconia Shoals
Sebelum ini, Air Times melaporkan tahun 2027 merupakan satu tempoh yang penting dalam jangkaan US DOW.
Mengapa tahun ini disifatkan sebagai kritikal? Ini kerana semua pembangunan industri dan belanjawan pertahanan China sebelum ini disasarkan kepada satu garis masa yang jelas iaitu tahun 2027. Menjelang tarikh ini, PLA dijangka memiliki keupayaan untuk mencapai objektif strategik tertentu, termasuk dalam senario Taiwan.
Namun, bagi kita di Malaysia, data yang paling mencuri tumpuan tentulah mengenai aktiviti di Laut China Selatan. Laporan ini mendedahkan peningkatan drastik kehadiran Pengawal Pantai China (CCG) di Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).

Kapal milik China Coast Guard dilihat sering memasuki kawasan perairan ZEE Malaysia./Foto: Asia Pacific Foundation of Canada
Pada tahun 2024, kapal CCG direkodkan berada di kawasan tersebut selama 313 hari, hampir dua kali ganda berbanding 162 hari pada tahun 2019.
Ini memberi isyarat bahawa sementara China memodenkan aset perang konvensional mereka, strategi “Zon Kelabu” menggunakan agensi penguatkuasaan maritim terus dipergiatkan untuk mencabar tuntutan negara jiran.
Secara keseluruhannya, Laporan Pentagon 2025 menggambarkan sebuah kuasa besar yang sedang melengkapkan dirinya bukan sahaja dengan senjata canggih, tetapi dengan kapasiti industri yang mampu menampung konflik berpanjangan. -airtimes.my
#AirTimes #Global #PLA #China
