CHINA, 28 APRILÂ – Ketegangan antara China dan Filipina kembali memuncak selepas Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) bertindak mendarat dan mengibarkan bendera negaranya di Sandy Cay, sebuah terumbu karang yang turut dituntut oleh Filipina.
Tindakan ini dilihat sebagai pengisytiharan rasmi kedaulatan China ke atas kawasan beting kecil yang terletak berhampiran Pulau Thitu (Pag-asa), yang dikuasai Filipina di Kepulauan Spratly.
Menurut laporan media antarabangsa, ini merupakan kali pertama dalam tempoh sedekad China secara rasmi mengibarkan bendera dan mendakwa kawalan ke atas beting yang sebelum ini tidak diduduki secara tetap.
Walaupun Sandy Cay hanya seluas kira-kira 200 meter persegi, kedudukannya yang strategik membolehkan China menuntut zon laut sejauh 12 batu nautika, yang bertindih dengan kawasan perairan Filipina berhampiran Pulau Thitu. ​
Mengulas lanjut, sebagai tindak balas, enam anggota dari Pengawal Pantai, Tentera Laut dan Polis Maritim Filipina pada Ahad lalu turut mendarat di tiga beting yang membentuk Sandy Cay serta mengibarkan bendera Filipina sebagai simbol penegasan kedaulatan negara itu.
Komodor Jay Tarriela dari Pengawal Pantai Filipina dalam satu kenyataan berkata, operasi ini bertujuan menunjukkan komitmen Filipina dalam mempertahankan haknya di Laut Filipina Barat. ​
Walau bagaimanapun, China, melalui Pengawal Pantainya mengecam tindakan Filipina sebagai “pendaratan haram” dan menegaskan bahawa mereka mempunyai “kedaulatan yang tidak dapat dipertikaikan” ke atas Kepulauan Spratly, termasuk Sandy Cay.
Malah, Beijing turut menuduh Filipina melakukan provokasi yang melanggar undang-undang antarabangsa.​
Untuk rekod, terdahulu, sekitar 2013 hingga 2016, China telah menjalankan projek penambakan laut besar-besaran di tujuh terumbu di Kepulauan Spratly, antaranya Terumbu Fiery Cross, Subi, Mischief, Gaven, Johnson Selatan, Hughes dan Cuarteron.
Langkah ini membolehkan Beijing menyokong tuntutan melalui peta “Nine-Dash Line” yang meliputi hampir 90 peratus Laut China Selatan. Malah, ia juga bertindih dengan zon ekonomi eksklusif (ZEE) Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Kini, pulau-pulau buatan China berfungsi sebagai pangkalan ketenteraan penting, meningkatkan pengawasan dan kawalan terhadap laluan perairan utama dunia. -airtimes.my
#China #Filipina #Tuntutanbertindih #AirTimes #Global
