MUGGIANO, 24 DIS – Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI AL) secara rasmi telah menerima kapal tempur pelbagai guna Multipurpose Combat Ship (PPA) KRI PRABU SILIWANGI-321 dari syarikat Itali, Fincantieri
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Fincantieri, upacara penyerahan kapal tersebut berlangsung di limbungan Fincantieri di Muggiano, La Spezia.
Majlis penyerahan yang berlangsung pada 22 Disember lalu itu dihadiri oleh Kepala Staf Angkatan Laut Indonesia, Laksamana Muhammad Ali, Duta Besar Indonesia ke Itali, Prof. Dr. Junimart Girsang, serta Ketua Tentera Laut Itali, Laksamana Giuseppe Berutti Bergotto. Fincantieri pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, Pierroberto Folgiero, serta Pengurus Besar Bahagian Kapal Tentera Laut, Eugenio Santagata.
KRI Prabu Siliwangi-321 merupakan kapal kedua diserahkan oleh Fincantieri kepada Indonesia. Sebelum ini, TNI-AL telah menerima KRI Brawijaya-320 yang diserahkan pada Julai lalu.

Penyerahan KRI PRABU SILIWANGI-321 menandakan TNI-AL memiliki dua buah kapal guna Multipurpose Combat Ship dari Itali. Foto: Fincantieri
Menurut kenyataan Fincantieri, dua buah kapal PPA ini disifatkan sebagai antara unit tempur paling canggih di rantau Indo-Pasifik. Perolehan berkenaan dilihat sebagai elemen strategik bagi menyumbang kepada kestabilan keselamatan Asia serta melindungi kepentingan nasional Indonesia.
Kapal kelas Pattugliatore Polivalente d’Altura (PPA) direka sebagai platform serba guna yang mampu melaksanakan pelbagai misi. Ia merangkumi operasi tempur, rondaan maritim, misi mencari dan menyelamat.
Dari segi spesifikasi, kapal ini mempunyai panjang keseluruhan 143 meter dan berupaya mencapai kelajuan melebihi 31 knot. Ia dikendalikan oleh seramai 171 anak kapal dan menggunakan sistem pendorong gabungan diesel serta turbin gas, atau Combined Diesel and Gas (CODAG). Kapal ini juga dilengkapi dengan sistem pendorong elektrik. – airtimes.my
#AirTimes #Indonesia #TNIAL #Fincantieri
