Secara turun-temurun, kekuatan sesebuah tentera laut sering diukur melalui saiz dan keupayaan armadanya. Kapal induk yang membawa puluhan pesawat pejuang, frigat bersenjata berat, serta kapal selam berkeupayaan serangan strategik dianggap sebagai simbol mutlak kuasa maritim sesebuah negara.
Namun, realiti keselamatan maritim global kini sedang berubah dengan pantas. Di beberapa perairan konflik utama dunia, paradigma “saiz sebagai simbolik kekuatan” semakin dipersoalkan oleh kemunculan aset yang jauh lebih kecil, lebih murah, tetapi mampu memberi kesan operasi yang besar.
Aset yang dimaksudkan ialah Unmanned Surface Vessel atau USV, yang lebih mudah difahami sebagai dron permukaan laut. Walaupun bersaiz kecil dan sering dianggap sebagai teknologi sokongan, USV kini muncul sebagai elemen yang berupaya mengubah imbangan kuasa dalam peperangan maritim moden.
Jika dahulunya kapal mempunyai kehadiran anak kapal di atasnya, USV pula hanya perlu dikawal dari jauh. Lazimnya, kapal yang tidak mempunyai kehadiran anak kapal atau awak disebut sebagai kapal hantu.

Global Autonomous Reconnaissance Craft (GARC) yang dioperasikan Unmanned Surface Vessel Squadron 3 (USVRON 3) oleh Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) merupakan salah satu contoh pengoperasian USV di pasukan tentera laut global. /.Gambar: US NAVY/ Mass Communication Specialist 1st Class Kelby Sanders
Evolusi USV dan konsep operasi tanpa krew
Secara asas, USV ialah bot atau kapal permukaan yang beroperasi tanpa kehadiran krew manusia. Ia boleh dikawal dari jarak jauh oleh operator di darat atau di atas platform lain. Selain itu, iaboleh beroperasi secara separa autonomi (human on the loop) atau autonomi penuh (fully autonomous) dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).
Konsep tanpa pemandu ini bukanlah sesuatu yang asing dalam domain ketenteraan. Di udara, penggunaan Unmanned Aerial Vehicle (UAV) telah lama menjadi sebahagian daripada operasi ketenteraan moden. USV merupakan salah satu jujukan kepada pendekatan peperangan tanpa pemandu, tetapi diaplikasikan dalam domain maritim yang mempunyai cabaran tersendiri.
Dalam konteks ketenteraan, pembangunan USV bertujuan untuk mengambil alih tugasan yang dikategorikan sebagai membosankan, berbahaya atau berisiko tinggi kepada nyawa manusia. Rondaan jangka panjang, operasi di perairan tercemar, serta misi tinjauan di kawasan yang dikuasai musuh kini boleh dilaksanakan tanpa mendedahkan seseorang kepada ancaman secara langsung.

Pengoperasian MARSEC oleh Tentera Laut Republik Singapura (RSN) merupakan salah satu contoh bagaimana sesebuah USV dilaksanakan di laluan perairan yang sibuk. /.Gambar: FB PIONEER
Peranan operasi yang semakin meluas
Persepsi awal bahawa USV hanyalah bot kecil yang membawa kamera kini tidak lagi tepat. Teknologi sensor, komunikasi dan automasi yang semakin matang telah membolehkan USV melaksanakan pelbagai peranan strategik.
Dalam peranan risikan, pemantauan serta tinjauan, USV mampu bertindak sebagai mata dan telinga di laut. Platform seperti Saildrone Explorer yang digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) di Timur Tengah mampu beroperasi selama berbulan-bulan dengan tenaga angin dan solar. Ia menghantar data radar, imej elektro-optik dan maklumat persekitaran secara masa nyata. Ini sekali gus meningkatkan kesedaran situasi (situational awareness) tanpa kos operasi yang tinggi.
Selain itu, USV juga semakin penting dalam operasi menangani ancaman ranjau laut. Ranjau merupakan senjata yang murah tetapi ia sangat berkesan dan mampu melumpuhkan laluan perkapalan strategik. Dengan penggunaan sonar dan sistem pengesanan khusus, USV boleh mengenal pasti serta memusnahkan ranjau dari jarak selamat, tanpa perlu menghantar kapal atau penyelam.
Aspek yang paling menarik perhatian dunia ialah penggunaan USV sebagai aset penyerang. USV yang dimuatkan bahan letupan boleh berfungsi sebagai senjata serangan langsung terhadap kapal sasaran. Operasi sebegini menjadikan USV seolah-olah torpedo pintar yang bergerak di permukaan air, sukar dikesan dan sukar dipintas. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #TeknologiPertahanan #USV
