MANILA, 19 JANUARI – Tentera Laut Filipina (PN) telah melakar satu lagi pencapaian bersejarah dalam usaha pemodenan pertahanannya dengan ketibaan kapal peronda luar pesisir (OPV) terbaharu, BRP RAJAH SULAYMAN (PS-20), dari Korea Selatan.
Aset ini merupakan kapal pertama daripada enam buah OPV yang ditempah di bawah kontrak bernilai PHP30 bilion (kira-kira AS$555 juta, bersamaan dengan RM2.47 bilion mengikut kadar tukaran semasa). Ketibaan kapal ini menandakan langkah signifikan Manila ke arah memperkukuh kedaulatan maritim dan keupayaan penguatkuasaan undang-undangnya di perairan Laut China Selatan.
Kapal tersebut dilaporkan tiba dengan selamat di perairan Filipina pada 17 Januari 2026, selepas memulakan pelayaran dari Ulsan, Korea Selatan pada 13 Januari. Sebaik sahaja memasuki perairan wilayah di luar pantai Zambales, BRP RAJAH SULAYMAN telah disambut oleh kapal frigat peluru berpandu pertama tentera laut negara itu, BRP JOSE RIZAL (FF-150).

BRP RAJAH SULAYMAN (hadapan) disambut oleh kapal BRP JOSE RIZAL (belakang) semasa tiba di perairan Filipina baru-baru ini./Gambar: Tentera Laut Filipina
Media Filipina memetik kenyataan Komander Marie Angelica Sisican, Ketua Pejabat Hal Ehwal Awam PN yang mengesahkan bahawa selepas selesai prosedur pertemuan dan koordinasi di laut, kapal tersebut meneruskan perjalanan ke Stesen Tentera Laut Jose Andrada.
Kemudian, kapal berkenaan dijadualkan menjalani siri aktiviti pasca-penghantaran yang kritikal, termasuk pemeriksaan teknikal menyeluruh dan penilaian sistem sebelum ia ditauliahkan secara rasmi ke dalam perkhidmatan aktif.
“Ketibaan OPV terbaharu ini menandakan satu lagi penambahan penting kepada armada moden PN yang semakin berkembang,” ujar Sisican dalam laporan media Filipina.

BRP RAJAH SULAYMAN merupakan kapal pertama dari 6 buah kelas RAJAH SULAYMAN yang dirancang oleh Manila bagi tujuan peningkatan keupayaan Tentera Laut Filipina./Gambar: Tentera Laut Filipina
BRP RAJAH SULAYMAN dilancarkan di limbungan HD Hyundai Heavy Industries (HHI) di Ulsan pada 11 Jun 2025. Pembinaan kapal ini adalah sebahagian daripada Projek Perolehan Kapal Peronda Luar Pantai di bawah program pemodenan Horizon 2 Angkatan Tentera Filipina.
Setelah ditauliahkan kelak, kapal ini dijangka akan meningkatkan misi pertahanan maritim dan penguatkuasaan undang-undang Tentera Laut, terutamanya dalam operasi rondaan, pengawasan, dan kehadiran di tengah-tengah cabaran keselamatan maritim yang semakin berkembang.
Reka bentuk kapal ini, yang berdasarkan maklumat sumber terbuka, dikatakan lebih kecil dan kurang bersenjata berbanding frigat serta korvet. Namun begitu, ia direka khusus untuk konflik intensiti rendah hingga sederhana serta operasi masa aman.

HDP-2200+merupakan asas kepada reka bentuk BRP RAJAH SULAYMAN./Gambar: HD Hyundai Heavy Industries
Spesifikasi teknikal BRP RAJAH SULAYMAN
Dari sudut spesifikasi teknikal, BRP RAJAH SULAYMAN dibina berdasarkan reka bentuk HDP-2200+ oleh HHI. Ia merupakan varian yang diperbesar dan ditambah baik daripada reka bentuk HDP-1500 Neo.
Kapal ini mempunyai sesaran sekitar 2,400 tan, satu saiz yang optimum untuk operasi jarak jauh. Proses pembangunan kapal ini turut memanfaatkan pengalaman luas PN semasa pembinaan frigat kelas JOSE RIZAL.
Keupayaan tempur kapal ini terdiri daripada satu laras meriam utama 76mm Oto Melara Super Rapid. Selain itu, kapal ini turut dilengkapi dengan 2 laras meriam 30mm SMASH RCWS dan 2 mesingan berat 12.7mm.
Selain itu, kapal ini mempunyai hangar dan dek pendaratan bagi menampung operasi helikopter atau pesawat tanpa pemandu (UAV). Apa yang menarik perhatian adalah ruang misi di bahagian buritan kapal untuk operasi bot RHIB, kontena modul pelbagai misi dan sonar tunda.

Walaupun berbeza jenis. pengalaman Tentera Laut Filipina mengendalikan frigat BRP JOSE RIZAL (kiri) dimanfaatkan dalam pembangunan kapal OPV BRP RAJAH SULAYMAN (kanan)./Gambar: Tentera Laut Filipina
GeoSpectrum Technologies Inc. dari Kanada telah dipilih untuk membekalkan sistem sonar tunda TRAPS (“Towed Reelable Active Passive Sonar”), memberikan dimensi peranan kapal ini untuk melaksanakan misi peperangan bawah permukaan.
Ketibaan BRP RAJAH SULAYMAN hanyalah permulaan kepada transformasi armada peronda Tentera Laut Filipina. Ia merupakan kapal pertama untuk kelas kapal yang dirancang terdiri daripada enam buah unit.
Kapal kedua, RAJAH LAKANDULA (PS-21), telah pun dilancarkan pada 20 November 2025 dan kini sedang menjalani fasa ujian laut. 4 buah lagi kapal dilaporkan bakal menyusul dan disiapkan dalam tempoh 2026 hingga 2028. – airtimes.my
