PORT DICKSON, 7 Okt – Eksesais Pasak Bumi dan Eksesais Petala Langit siri 1/2022 anjuran Rejimen Kedua Armor Diraja (2 KAD) telah dilaksanakan bagi memupuk semangat kerjasama serta setiakawan dalam kalangan anggota pada 26 September hingga 5 Oktober lalu.
Eksesais yang dilakukan di sekitar kawasan Mantin dan Bangi ini juga bagi meningkatkan daya pemerintahan serta kawalan di peringkat Seksyen, Platun termasuk Kompeni dalam keadaan yang mencabar.
“Selain itu, eksesais ini turut menguji tahap kemahiran individu dalam pandu arah, disiplin medan dan Ilmu Medan Perang (IMP),” jelas 2 KAD menerusi hantaran di media sosialnya.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Panglima 1 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Saifulisham Baharun, pada Rabu.
Beliau dalam ucapannya menjelaskan, eksesais ini dapat menguji taktik dan kompetensi Ketua Kompeni, Ketua Platun serta Ketua Seksyen selain kemampuan Trup Pengawasan dalam memberi maklumat yang diperlukan.
“Dalam perancangan serta pelaksanaan serang hendap, serangan serta-merta dan serangan ke atas khemah musuh, latihan ini penting dilaksanakan agar semua lapisan anggota tahu apa yang perlu dilakukan,” jelasnya.-airtimes.my
Galeri gambar: