RIYADH, 29 MAC – Sebuah pesawat E-3 Sentry AWACS milik Tentera Udara Amerika Syarikat dilaporkan musnah dalam serangan peluru berpandu dan dron oleh Iran ke atas pangkalan tentera di Arab Saudi pada 27 Mac lalu.
Serangan yang didakwa dilancarkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyasarkan Pangkalan Udara Prince Sultan, sebuah kemudahan strategik yang menempatkan aset penting Tentera Udara Amerika Syarikat.
Imej dari lokasi kejadian menunjukkan sebuah pesawat E-3 Sentry musnah sepenuhnya, dengan bahagian fiuslaj belakang terbakar dan serpihan bertaburan di kawasan parkir pesawat.
Pesawat amaran awal bernilai kira-kira AS$500 juta itu merupakan antara aset kritikal dalam operasi pemantauan radar dan kawalan ruang udara.
Selain itu, beberapa pesawat KC-135 Stratotanker turut dilaporkan mengalami kerosakan teruk dalam serangan sama.
Dalam masa sama, sumber awal menyatakan antara 10 hingga 15 anggota tentera Amerika cedera, dengan beberapa daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
Dalam perkembangan lain, United States Central Command (USCC) sebelum ini mendakwa lebih dua pertiga fasiliti pengeluaran peluru berpandu dan dron Iran telah dimusnahkan sejak operasi ketenteraan bermula pada akhir Februari.
Namun, serangan terbaru ini dilihat bercanggah dengan dakwaan tersebut dan menunjukkan Tehran masih memiliki keupayaan untuk melancarkan serangan tepat berskala besar. -airtimes.my


