KUALA LUMPUR, 19 Apr – Harga tiket penerbangan kelas ekonomi sehala dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak menunjukkan penurunan ketara dalam tempoh penerbangan musim perayaan Aidilfitri iaitu daripada 27 April hingga 8 Mei.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, penurunan tersebut dibuat adalah hasil prokaktif kementeriannya bersama dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan syarikat-syarikat penerbangan domestik yang telah bekerjasama bagi mencapat persepakatan dalam isu ini.
“Berdasarkan pemerhatian MAVCOM pada 16 April, harga tambang penerbangan sehala kelas ekonomi bagi tempoh penerbangan untuk musim perayaan Hari Raya Aidilftri pada 27 April hingga 8 Mei (tempoh pemerhatian) adalah antara RM105 dan RM1,398,
“Manakala bagi 29 April hingga 1 Mei (tempoh puncak), harga tambang sehala antara RM195 dan RM1,398,
“Daripada julat harga tambang tersebut, majoriti harga tiket penerbangan tersedia untuk pembelian bagi semua laluan ekonomi sehala ke Sabah dan Sarawak pada tempoh yang dipantau hanyalah antara RM300 ke RM500,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Ka Siong, keadaan itu berbeza sebelum dan pada 14 April lalu di mana julat harga tambang penerbangan sehala bagi kelas ekonomi untuk tempoh pemerhatian adalah antara RM105 hingga RM2,084.
“Manakala bagi tempoh puncak pula, harga tambang sehala kelas ekonomi adalah antara RM195 hingga RM2,084,
“Daripada julat harga tambang tersebut, majoriti harga tiket penerbangan ekonomi sehala adalah antara RM700 ke RM1,200,” ujarnya.
Katanya, perkara ini diputuskan selepas mengadakan perbincangan dan mendapat kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Sesungguhnya ini merupakan berita yang amat menggembirakan kepada ahli Keluarga Malaysia yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak memandangkan harga tiket penerbangan telah turun dengan jumlah yang ketara,
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada MAVCOM, CAAM dan syarikat-syarikat penerbangan domestik di atas bekerjasama rapat bagi mencapai persepakatan ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, analisis lanjut menunjukkan bahawa dakwaan harga tambang melebihi RM3,000 bagi tiket penerbangan kelas ekonomi sehala seperti dilaporkan media baru-baru ini sebenarnya melibatkan laluan udara dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah dengan satu hentian di Kuching, Sarawak.
“Sehubungan itu, saya menggesa pengguna mengambil kesempatan ini dan merancang perjalanan mereka membeli tiket penerbangan segera bagi mendapat manfaat daripada tambang penerbangan yang berkemungkinan lebih rendah serta tawaran penerbangan lebih baik,” katanya lagi. – airtimes.my