SINGAPURA, 06 FEB – Kementerian Pertahanan Indonesia secara rasmi memilih pesawat M-346 F Block 20 keluaran Leonardo bagi menggantikan armada BAE Systems Hawk Mk 109/209 milik Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU).
Pengesahan perolehan tersebut dibuat melalui penandatanganan Surat Hasrat (LOI) antara kerajaan Indonesia, syarikat tempatan PT E-System Solutions (ESS), dan Leonardo pada hari kedua Pameran Udara Singapura (Singapore Airshow) 2026, semalam.
Menurut Leonardo, varian Block 20 yang dipilih ini merupakan versi paling moden yang direka khusus sebagai pesawat tempur ringan (Light Combat Aircraft – LCA) dan bukan sekadar pesawat latih.
Antara spesifikasi utama varian ini termasuk integrasi radar AESA (Active Electronically Scanned Array) dan kokpit digital dengan paparan skrin besar (Large Area Display), yang membolehkan ia melaksanakan misi tempur sebenar selain fungsi latihan.
Perolehan strategik ini bertujuan menyokong peralihan juruterbang TNI-AU ke pesawat tempur generasi baharu,Dassault Rafale, selain mengisi kekosongan keupayaan serangan ringan yang ditinggalkan oleh armada Hawk.
Dalam pada itu, keputusan ini turut mengesahkan bahawa Indonesia membatalkan rancangan pembelian pesawat F-15EX dari Amerika Syarikat, susulan kenyataan wakil Boeing bahawa penjualan tersebut tidak lagi diteruskan.
Indonesia kini bakal menjadi negara Asia ketiga yang mengoperasikan keluarga pesawat M-346 selepas Singapura dan Turkmenistan.-airtimes.my
