ROM, 25 SEPT – Itali dan Sepanyol menggerakkan kapal perang masing-masing ke Mediterranean bagi memberi bantuan kepada flotila antarabangsa yang diserang menggunakan dron ketika dalam pelayaran membawa bantuan ke Gaza.
Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto berkata beliau mengarahkan frigat pelbagai peranan ITS Fasan digerakkan ke lokasi selepas berunding dengan Panglima Angkatan Tentera Itali dan Perdana Menteri Giorgia Meloni pada awal pagi ini.
“Bagi memberikan bantuan kepada rakyat Itali di atas flotila, pada jam 3.50 pagi walaupun berada di Estonia, saya telah berunding dengan Panglima Angkatan Tentera Itali dan membuat penilaian ringkas insiden tersebut. Kemudian saya berbincang dengan Perdana Menteri Meloni dan mengarahkan frigat Fasan digerakkan segera,” katanya dalam kenyataan di X.
Menurut beliau, frigat itu yang sedang berada di utara Crete dalam rangka Operasi Mare Sicuro kini menuju ke kawasan kejadian untuk melaksanakan operasi menyelamat sekiranya diperlukan.
Itali turut memaklumkan perkara itu kepada atase tentera Israel di Rom, Duta Itali di Tel Aviv serta Unit Krisis Kementerian Luar Negeri Itali.
Sementara itu, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez pula mengumumkan Madrid akan menghantar kapal perang dari Cartagena bagi menyertai misi perlindungan flotila tersebut.
Beliau berkata langkah itu diambil selepas flotila diserang dron di perairan antarabangsa berhampiran pulau Gavdos, Greece.
“Kerajaan Sepanyol menegaskan undang-undang antarabangsa mesti dihormati dan hak warganegara kami untuk belayar di Mediterranean dalam keadaan selamat perlu dipelihara,” katanya yang dipetik oleh agensi Reuters.
Flotila antarabangsa dikenali sebagai Global Sumud Flotilla menggunakan kira-kira 50 buah bot awam dengan penyertaan aktivis, peguam serta sukarelawan dari 45 negara, termasuk Greta Thunberg.
Ia dalam misi menghantar bantuan makanan ke Gaza serta menyatakan solidariti kepada penduduk Palestin.
Semalam, pihak pengelola Global Sumud Flotilla melaporkan 13 letupan berlaku berhampiran bot-bot flotila semasa pelayaran dilaksanakan. Tambahnya, beberapa dron dikesan terbang rendah dan situasi tersebut telah mencetuskan kebimbangan keselamatan para sukarelawan.
Pelayaran itu turut melibatkan 1000 sukarelawan dari seluruh dunia termasuk 37 orang dari Malaysia. – airtimes.my
#GlobalSumudFlotilla #GSF #Itali #sepanyol #kapalperang #Gaza #pertahanan #airtimes
