PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 60 kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai dikesan sejak 13 Mei sehingga hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan rekod yang bermula 13 Mei lalu hingga hari ini, terdapat sebanyak 58 kluster melibatkan Hari Raya Aidilfitri manakala Hari Gawai pula, 2 kluster.
Menurut beliau, Sebanyak 13,023 individu telah disaring dalam kluster ini, di mana terdapat 3,511 kes COVID-19 telah dikenalpasti seterusnya menjadikan kadar positif adalah sebanyak 27.0 peratus.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 20 kematian direkodkan dan sehingga kini, 11 orang masih dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU),
“Negeri-negeri yang mencatatkan bilangan kluster perayaan yang tertinggi adalah Sabah dengan 11 kluster, Sarawak dengan 8 kluster, serta Kedah dengan 7 kluster,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan semasa situasi COVID-19 di dalam negara, hari ini.
Noor Hisham berkata, situasi peningkatan kes dan kematian yang dilaporkan bagi kluster perayaan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh singkat.
Beliau berkata, sekiranya masyarakat masih lagi leka serta tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari aktiviti kunjung-mengunjung serta rentas negeri semasa musim perayaan tersebut, tidak mustahil peningkatan kes secara mendadak berulang di negara kita.
“Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk melindungi golongan rentan, khususnya ibu bapa yang uzur di kampung halaman dengan tidak mendedahkan mereka dengan jangkitan virus SARS-CoV-2 ini,
“Rakyat wajar mencontohi negara-negara jiran yang telah berjaya mengawal situasi pandemik COVID-19 dengan baik di negara mereka,
“Mereka telah membuktikan bahawa dengan kerjasama antara semua pihak dan kepatuhan yang tinggi kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan, fungsi kehidupan kepada normal mampu menjadi kenyataan,” ujarnya.
Tambahnya, semua pihak digesa untuk kekal duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak di luar dan daftarkan diri anda serta ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin COVID-19.
“Ia adalah bagi membentuk imuniti kelompok dan seterusnya mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua lapisan masyarakat,” jelasnya.
Hari ini, Malaysia telah merekodkan sebanyak 5,671 kes harian COVID-19 dan ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes di dalam negara meningkat kepada 639,562.
Selain itu, sebanyak 7,325 pesakit jangkitan wabak ini telah disahkan sembuh dan menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh di Malaysia adalah sebanyak 556,030 kes.
Manakala, Dr Noor Hisham mengesahkan, sebanyak 73 kes kematian dan 22 kluster baharu dikesan pada hari ini.
Sehingga hari ini, Malaysia telah merekodkan sebanyak 3,684 korban akibat wabak ini. -airtimes.my