SUBANG, 13 JAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijadual menerima beberapa aset strategik baharu pada tahun 2026 bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.
Menurut Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris, aset yang bakal diterima termasuk tiga pesawat ANKA pada Januari, Radar Pertahanan Udara di Bintulu pada Julai, serta dua pesawat F/A-50M pada Oktober 2026.
“Ketibaan aset baharu ini bukan sekadar penambahan platform, tetapi melibatkan penstrukturan semula organisasi, pembangunan kompetensi sumber manusia, penaiktarafan infrastruktur serta pengemaskinian doktrin dan prosedur operasi,” kata beliau dalam Amanat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh warga TUDM.
Beliau menekankan kepentingan pemikiran operasi (operational mindset) untuk mengoptimumkan integrasi antara manusia, mesin dan kaedah kerja bagi memastikan aset baharu dapat dioperasikan secara optimum dan selamat.
Selain itu, aspek penyelenggaraan aset juga menjadi tumpuan utama bagi memastikan tahap kesiapsiagaan TUDM sentiasa berada pada tahap optimum.
“Operational mindset ini perlu diterjemahkan secara konsisten dalam cara setiap warga TUDM berfikir, merancang dan bertindak dalam persekitaran operasi,” tambah beliau.
Panglima Tentera Udara turut menegaskan bahawa kejayaan perolehan aset baharu bergantung kepada disiplin, budaya kerja positif dan daya pemikiran warga udara. Ini sejajar dengan aspirasi TUDM untuk kekal sebagai kuasa udara yang tangkas, efektif dan kredibel.
Dengan perolehan aset strategik ini, TUDM dijangka meningkatkan kemampuan daya tindak udara serta memainkan peranan utama dalam strategi cegah rintang bersepadu negara. – airtimes.my
#AirTimes #PertahananKeselamatan #ANKA #FA50M #TUDM #Malaysia
