KOTA BELUD, 15 Sept – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan Eksesais ABABIL 2021 untuk menguji keupayaan persenjataan aset tempur dan kesiagaan anggota TUDM termasuk Pasukan Khas Udara (PASKAU) di dalam pelaksanaan operasi udara.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, latihan yang dijalankan sejak 7 September lalu ini membabitkan pesawat pejuang serta aset tempur yang beroperasi di kawasan ruang udara, perairan dan daratan Wilayah Malaysia Timur.
“Eksesais kali ini melibatkan seramai 446 anak kapal dan anggota TUDM termasuk PASKAU serta penglibatan pesawat-pesawat tempur termasuk F/A-18D Hornet, Sukhoi Su-30MKM dan Hawk208,
“Selain itu, latihan ini turut menyaksikan penyertaan pesawat pengangkut Hercules C-130, pesawat jenis Beechcraft Super King Air B200T Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan helikopter EC 725 AP,” katanya selepas menyaksikan demontrasi tembakan udara di Lapang Sasar Udara (LASARUD), Kota Belud, pada Selasa.
Affendi berkata, demonstrasi berkenaan membuktikan tahap profesionalisme, kepakaran, keupayaan dan kesiapsiagaan warga serta aset-aset tempur TUDM dalam misi dan operasi pertahanan negara.
“Kejayaan latihan ini juga adalah merupakan pencapaian yang diperolehi melalui komitmen dan pengorbanan mereka yang tidak terhingga bagi memastikan kesiagaan TUDM sentiasa berada di tahap tertinggi demi kedaulatan negara,” tambahnya.
TUDM berkata, eksesais yang telah bermula pada 7 September lalu turut melaksanakan beberapa siri latihan termasuklah Tembakan Misil Udara ke Udara (AAMF) dan Tembakan Misil Udara ke Permukaan Air (ASMF).
“Kesemua latihan ini telah dilakukan di Pangkalan Udara Labuan, Lapang Sasar Udara Kota Belud dan kawasan perairan Laut China Selatan,”jelasnya dalam hantaran di media sosial rasmi TUDM. -airtimes.my
Galeri Gambar: