[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=0_LC9p1WOzQ[/embedyt]
MERSING, 27 Nov – Penerjunan bebas dari aras tinggi (High Attitude High Opening) merupakan salah satu teknik yang digunakan oleh pasukan khusus Tentera Darat Malaysia (TDM) bagi menyusup masuk ke kawasan yang dikuasai musuh.
Sehubungan itu, Pegawai Skuadron Sierra (Skn Sierra), Rejimen ke-11 Gerak Khas (11 RGK) berkata, pasukannya telah melaksanakan Eksesais Tedung Bara siri 1/2021 bagi menguji tahap kompetensi anggotanya dalam melaksanakan penyusupan udara ke kawasan musuh melalui teknik HAHO dan High Altitude Low Opening (HALO).
Selain itu, eksesais ini adalah untuk memastikan kesiagaan pasukannya sentiasa di tahap yang tinggi untuk diatur gerakkan pada bila-bila masa.
Penerjunan pada ketinggian 25,000 kaki
Eksesais yang berkonsepkan penerjunan bebas pada ketinggian 17,000 kaki ke bawah dengan menggunakan bantuan oksigen ini telah dilaksanakan pada 20 hingga 27 November 2021 di sekitar kawasan Johor.
Eksesais ini juga melibatkan helikopter EC 725 dan pesawat pengangkut C130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Penerjunan bebas ini adalah bagi menguji anggota dalam melaksanakan blind drop dan taktik, teknik, prosedur (TTP) semasa serta selepas penerjunan,
“Latihan ini menguji tahap kompetensi tim intip dalam melaksanakan penyusupan udara ke kawasan musuh melalui teknik HAHO serta keberkesanan peralatan yang digunakan,
“Penerjunan HAHO ini dilaksanakan dengan ketinggian diantara 18 hingga 25 ribu kaki dari aras laut dan jarak dari Release Point ke Drop Zone adalah diantara 20 hingga 40 kilometer,
“Ianya juga bergantung kepada keupayaan payung serta kelajuan angin semasa,” jelasnya kepada Air Times.
Kelengkapan oksigen
Menurutnya, setiap penerjun HAHO yang akan melakukan penerjunan perlu dilengkapi dengan sistem oksigen dan sistem navigasi udara untuk membawa payung masuk.
“Selain senjata persendirian, peralatan operasi dan juga altimeter juga menjadi aset utama untuk mengukur ketinggian penerjunan dari Release Point ke dalam Drop Zone,” tambahnya.
Beliau berkata, setiap anggota Skn Sierra perlu mahir dan lulus ujian yang ditetapkan oleh pasukan bagi melayakkan mereka melakukan penerjunan HAHO.
“Setiap anggota yang ingin menyertai HAHO perlu lulus dalam kursus Asas Komando, Kursus Asas Payung Terjun dan kemudian Kursus Terjun Bebas serta Peningkatan Terjun Bebas,
“Penerjun juga mesti lulus ujian Hypobaric yang diuruskan oleh Institut Perubatan Penerbangan di Pangkalan Udara Subang,” jelasnya.
Berhadapan kekangan had penglihatan
Pada masa yang sama, beliau berkata, penerjun akan berhadapan dengan pelbagai kemungkinan termasuk terpaksa mendarat jauh daripada zon pendaratan yang disebabkan arah dan cuaca semasa penerjunan dilaksanakan.
“Antara cabaran yang penerjun HAHO hadapi adalah apabila berada didalam aras ketinggian 25 ribu kaki dan suhu yang sangat ekstrem,
“Penerjun juga perlu mengimbangi badan semasa di udara dengan peralatan yang dibawa dan ia memerlukan kemahiran dan pemikiran yang pantas dalam melakukan sebarang keputusan,
“Penerjunan HAHO ini selalu dilaksanakan pada waktu malam dan limitasi penglihatan yang sangat terhad. Oleh itu, penerjun sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan dimana penerjun terpaksa mendarat jauh daripada zon pendaratan (Drop Zone, DZ) disebabkan arah dan cuaca semasa penerjunan dilaksanakan,” ujarnya. -airtimes.my